PM: Sukuk Kelestarian Malaysia stabilkan ekonomi, tarik pelabur

Kejayaan kerajaan Malaysia menerbitkan Sukuk Kelestarian berdaulat yang pertama di dunia dalam dollar AS (USD) dengan jumlah nilai USD1.3 billion adalah satu pencapaian yang membanggakan bagi negara, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, saiz terbitan asal kini berjaya dinaikkan daripada USD1.0 billion kepada USD1.3 billion melalui lebihan langganan sebanyak 6.4 kali.

“Berdasarkan permintaan yang menggalakkan, kerajaan juga berjaya menetapkan harga yang kompetitif bagi Sukuk Kelestarian ini.

“Ini jelas mencerminkan keyakinan pelabur dan keyakinan pasaran ke atas pemulihan dan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia walaupun kerajaan berdepan dengan cabaran getir akibat pandemik Covid-19 dalam tempoh setahun lepas,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Jelas Muhyiddin, situasi ini juga membuktikan Malaysia berada di landasan yang tepat dalam pengurusan ekonomi ke arah pertumbuhan yang lebih mampan dan kukuh.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kewangan dan agensi-agensinya yang terlibat seperti Bank Negara Malaysia, yang telah bekerjasama di dalam menjayakan pemasaran dan terbitan Sukuk Kelestarian yang unik dan unggul dari sudut inovasi instrumen kewangan Islam.

“Saya yakin ini juga akan terus menyerlahkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam pasaran kewangan Islam global.

“Insya-Allah, Sukuk Kelestarian ini akan terus meletakkan kita di landasan pembangunan yang lebih lestari, mampan, berdaya tahan dan berdaya saing selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” ujarnya.

-NIAGATIMES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.