PMKS beransur pulih dengan pertumbuhan yang positif pada 2021

PMKS berada pada landasan pemulihan yang beransur-ansur dengan petunjuk utama iaitu Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), eksport dan guna tenaga mencatatkan pertumbuhan positif pada tahun 2021 meskipun persekitaran dalam negeri dan global masih mencabar disebabkan oleh pandemik Covid-19.

SME Corp. Malaysia (SME Corp) berkata, pertumbuhan KDNK PMKS meningkat sebanyak 1.0 peratus pada tahun 2021 kepada nilai RM518.1 bilion berbanding pertumbuhan negatif 7.3 peratus pada tahun 2020 (RM512.9 bilion) berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia baru-baru ini.

“Pertumbuhan positif KDNK PMKS didorong oleh firma dalam sektor pembuatan dan pertanian, terutamanya industri berkaitan getah dan kimia dengan PMKS dalam industri ini mendapat manfaat daripada permintaan yang dicetuskan oleh pandemik.

“Sementara itu, PMKS dalam sektor perkhidmatan, pembinaan serta perlombongan dan pengkuarian mencatatkan penguncupan yang lebih kecil berbanding tahun sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Jelas SME Corp, PMKS berorientasikan eksport juga masih berdaya tahan dengan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.4 peratus pada 2021, melonjak daripada penguncupan yang ketara sebanyak -33.1 peratus pada tahun 2020.

“Eksport PMKS meningkat kepada RM124.3 bilion (2020: RM117.8 bilion), dengan pertumbuhan disokong terutamanya oleh PMKS dalam sektor pertanian (20.4 peratus) dan pembuatan (16.7 peratus),” tambahnya.

Pada masa yang sama, SME Corp mendedahkan bahawa sumbangan PMKS kepada ekonomi Malaysia menurun memandangkan bukan PMKS pulih pada kadar yang lebih pantas.

“Sumbangan PMKS kepada KDNK adalah sebanyak 37.4 peratus (2020: 38.1 peratus), eksport PMKS kepada jumlah eksport menurun kepada 11.7 peratus (2020: 13.5 peratus) dan sumbangan PMKS kepada jumlah guna tenaga menurun kepada 47.8 peratus (2020: 48.0 peratus),” ujarnya.

SME Corp bagaimanapun optimis PMKS dijangka akan meneruskan momentum pemulihan pada tahun 2022.

“Penekanan akan diberikan terhadap tiga bidang tumpuan bagi memastikan pertumbuhan PMKS yang mampan iaitu penyertaan PMKS dalam rantaian nilai industri berimpak tinggi, pengantarabangsaan PMKS serta pendigitalan dan automasi PMKS,” jelasnya.

-NIAGATIMES

Gambar-Hiasan.png

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.