SME Corp. Malaysia, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah menganjurkan Siri Kelestarian PMKS 2025 untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Terengganu serta wilayah Pantai Timur, baru-baru ini di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Terengganu.
Siri Kelestarian PMKS adalah salah satu inisiatif di bawah Program PKSlestari yang telah dimulakan sejak tahun 2023 bagi meningkatkan kesedaran mengenai Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (Environmental, Social and Governance, ESG). Program kali ini menampilkan sinergi beberapa aktiviti utama iaitu bengkel ESG, seminar e-Invois dan Hari Terbuka PMKS.
Bengkel ESG 2025: Dari Teori ke Amali telah memberi pendedahan serta panduan praktikal kepada PMKS mengenai pelaksanaan amalan ESG dalam operasi perniagaan, berpandukan buku Panduan Pantas ESG untuk PMKS yang diterbitkan oleh SME Corp. Malaysia. Bengkel ini telah membantu PMKS memahami dan menerapkan prinsip kelestarian dalam operasi harian mereka.
Penerapan ESG oleh PMKS bukan sahaja dapat memastikan kelangsungan dalam rantaian bekalan sedia
ada, malah membuka peluang kepada pasaran baharu serta meningkatkan akses kepada pembiayaan hijau (green finance).
Program pada hari kedua diteruskan dengan penganjuran Seminar e-Invois untuk PMKS yang memberi pemahaman mengenai pelaksanaan e-Invois kepada PMKS secara menyeluruh dan memudahcara transformasi digital firma.
Melalui sesi ini, peserta telah didedahkan kepada konsep dan asas e-Invois, selari dengan garis panduan yang ditetapkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia. Seminar interaktif ini juga memberi bimbingan praktikal langkah demi langkah dalam melaksanakan e-Invois, terutamanya penggunaan portal MyInvois.
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy dalam ucapan aluannya telah menekankan bahawa penerapan e-Invois adalah selari dengan amalan ESG, yang menyokong elemen tadbir urus (governance) dengan menambah baik ketelusan dan pematuhan dalam pelaporan kewangan firma.
“Hal ini sekaligus akan menyokong Malaysia menuju ke arah pentadbiran kewangan yang lebih cekap. Oleh itu, pengenalan e-Invois adalah satu langkah yang tepat dan PMKS perlu ‘mengambil langkah kecil tetapi dengan keyakinan’ bagi menjamin masa depan perniagaan yang lebih mampan,” katanya.
-NIAGATIMES






















































