PMKS terima suntikan RM205 juta menerusi inisiatif baharu SINAR

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperkenalkan Program Sokongan Industri dan Perniagaan Rakyat (SINAR) bernilai RM205 juta sebagai langkah membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berdepan cabaran ekonomi semasa susulan gangguan rantaian bekalan global.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata program yang dilaksanakan melalui SME Corp. Malaysia itu menyediakan gabungan bantuan kewangan serta pembangunan kapasiti bagi memastikan PMKS dapat terus beroperasi dan mengekalkan daya saing.

Beliau berkata SINAR yang akan dibuka untuk permohonan mulai bulan ini merangkumi lima inisiatif baharu yang dirangka bagi membantu usahawan mengurus aliran tunai, memperkukuh operasi serta meningkatkan ketahanan perniagaan dalam persekitaran ekonomi yang semakin mencabar.

“Kerajaan memahami tekanan yang sedang dihadapi oleh PMKS akibat peningkatan kos operasi dan ketidaktentuan pasaran yang berpunca daripada perkembangan geopolitik dan geoekonomi dunia.

“Melalui SINAR, kita mahu memastikan usahawan mempunyai akses kepada pembiayaan serta sokongan yang diperlukan untuk meneruskan perniagaan, berkembang dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) 2026 dan Mini Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Peringkat Johor di Angsana Johor Bahru Mall.

Daripada keseluruhan peruntukan, tiga skim pembiayaan disediakan dengan jumlah pembiayaan sehingga RM5 juta pada kadar keuntungan atau faedah antara tiga hingga lima peratus setahun menerusi kerjasama Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), microLEAP PLT dan Funding Societies.

Selain kemudahan pembiayaan, program itu turut menawarkan Program Penskalaan Perniagaan Inklusif yang memberi geran sehingga 90 peratus kepada perusahaan kecil dan sederhana yang melibatkan komuniti inklusif dalam rantaian bekalan mereka.

Inisiatif berkenaan juga membantu perusahaan mikro meningkatkan kemahiran dan keupayaan bagi menyokong transformasi perniagaan ke tahap lebih tinggi.

Bagi memudahkan penyertaan, pemohon hanya perlu memperoleh Status PMKS sebagai pengesahan rasmi bahawa syarikat memenuhi definisi PMKS yang ditetapkan.

Sebagai galakan, SME Corp. Malaysia menawarkan diskaun 50 peratus bagi permohonan status tersebut dari 1 Jun hingga 31 Ogos 2026.

Turut diadakan sempena karnival itu ialah Program Halal Sukses KUSKOP Johor yang memberi pendedahan kepada usahawan mengenai pensijilan halal, pemasaran digital dan kemudahan jaminan pembiayaan perniagaan, manakala TikTok Shop bertindak sebagai rakan strategik dalam usaha memperluaskan pendigitalan PMKS.

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin serta Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

-NIAGATIMES

kredit-foto-KUSKOP.jpg