Pos Laju jadi hab tunggal penghantaran domestik dan antarabangsa

Pos Malaysia Bhd menyatukan semua perkhidmatan kurier domestik dan antarabangsanya di bawah jenama Pos Laju sebagai langkah strategik untuk memudahkan urusan penghantaran pelanggan serta memperkukuh sokongan kepada perniagaan tempatan yang ingin menembusi pasaran global.

Syarikat penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan negara itu berkata, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada agenda transformasi berterusannya dalam membangunkan platform logistik yang lebih bersepadu dan mesra pelanggan.

Menerusi langkah tersebut, semua perkhidmatan penghantaran kurier akan ditawarkan di bawah satu jenama tunggal, membolehkan pelanggan mengakses penyelesaian penghantaran dalam negara dan antarabangsa melalui platform yang lebih mudah serta lancar.

Menurut Pos Malaysia, penyatuan itu hadir ketika semakin banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini mula meneroka peluang pertumbuhan menerusi perdagangan rentas sempadan, didorong oleh perkembangan pesat sektor e-dagang.

Syarikat itu berkata keperluan terhadap penyelesaian logistik yang cekap dan boleh dipercayai kini menjadi faktor penting bagi membantu perniagaan menembusi pasaran baharu di luar negara.

Berbekalkan pengalaman lebih dua abad dalam industri penghantaran, Pos Malaysia terus memainkan peranan penting dalam menyokong perdagangan domestik dan antarabangsa.

Melalui Pos Laju, syarikat itu telah membantu perniagaan menghantar produk kepada pelanggan di seluruh negara dan kini memperluaskan sokongan tersebut ke pasaran global.

Pos Malaysia berkata, rangkaian penghantarannya kini meliputi sehingga 230 negara dan wilayah menerusi gabungan rangkaian pos antarabangsa serta kerjasama dengan penyedia penghantaran komersial.

Selain perkhidmatan penghantaran, syarikat itu turut menawarkan penyelesaian e-dagang menyeluruh termasuk kemudahan penyimpanan, pengambilan dan pembungkusan pesanan serta pengurusan logistik bersepadu bagi membantu perniagaan mengurus operasi dengan lebih cekap.

Dalam perkembangan berkaitan, Pos Malaysia memaklumkan prestasi operasinya terus menunjukkan peningkatan apabila kadar penghantaran bungkusan domestik hari berikut (D+1) mencapai 92 peratus pada 2025.

Sementara itu, Ketua Pegawai Jualan Kumpulan Pos Malaysia, Charles William berkata, penyatuan berkenaan bertujuan membantu perniagaan berkembang secara lebih mampan dalam landskap ekonomi digital yang semakin kompetitif.

Jelasnya, kewujudan Pos Laju sebagai platform tunggal akan memudahkan peralihan perniagaan daripada penghantaran domestik kepada perdagangan rentas sempadan, selain membolehkan syarikat memberi sokongan menyeluruh merangkumi proses pemenuhan pesanan hingga penghantaran akhir.

“Perdagangan digital hari ini bukan sekadar menjual produk secara dalam talian, tetapi memastikan perniagaan mampu berkembang dengan cekap dan memenuhi jangkaan pelanggan melalui penghantaran yang boleh dipercayai.

“Dengan pengalaman lebih 200 tahun dalam bidang penghantaran serta rangkaian global yang luas, kami berada pada kedudukan terbaik untuk membantu PKS mengembangkan perniagaan ke peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya.

Menurut Pos Malaysia, pelaksanaan penjenamaan dan penyatuan perkhidmatan itu akan dijalankan secara berperingkat merangkumi platform digital, rangkaian cawangan serta saluran perniagaan bagi memastikan proses peralihan berjalan lancar kepada semua pelanggan.

-NIAGATIMES

foto-Pos-Laju.jpg