Pos Malaysia perkenal 136 van elektrik baharu, luas jangkauan ke Sabah dan Sarawak

Pos Malaysia Berhad terus memperkukuh komitmen ke arah operasi hijau dengan memperkenalkan 136 van elektrik Maxus eDeliver 3 baharu, hasil kerjasama dengan Weststar Maxus dan rakan strategik pajakan, Yinson GreenTech.

Inisiatif ini memperkukuh agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) syarikat, seiring aspirasi negara menuju ekonomi rendah karbon dan penggunaan tenaga lebih cekap.

Dengan penambahan ini, jumlah keseluruhan kenderaan elektrik (EV) Pos Malaysia kini merangkumi 1,652 unit, termasuk 1,252 kenderaan dua roda dan 400 kenderaan empat roda yang menjadikannya armada EV terbesar dalam sektor logistik di Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer, penambahan van EV ini bukan sekadar kemajuan teknologi, tetapi juga simbol tanggungjawab korporat terhadap masa depan yang mampan.

“Buat kali pertama, EV kami akan digunakan di Sabah dan Sarawak. Ini menandakan langkah besar dalam memastikan akses penghantaran hijau di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, kerjasama strategik dengan Maxus dan Yinson GreenTech mengukuhkan visi Pos Malaysia untuk menjadi peneraju logistik mampan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Weststar, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim menyifatkan penyertaan Maxus eDeliver 3 dalam armada Pos Malaysia sebagai pencapaian penting.

“Van ini bukan sekadar kenderaan, ia lambang inovasi dan kerjasama erat antara pemain industri ke arah penyelesaian mobiliti yang lebih lestari,” katanya.

Langkah ini dijangka memberi impak positif terhadap jejak karbon syarikat dan menyokong misi nasional untuk memperluas penggunaan EV dalam sektor komersial.

-NIAGATIMES

KREDIT-FOTO-Weststar-Maxus.jpg