Pos Malaysia Berhad kini memperkenalkan Koleksi Setem Khas Kuda Siri 2 sebagai kesinambungan inisiatif mengangkat peranan haiwan itu dalam sejarah, kebudayaan dan arena sukan negara.
Pelancaran edisi kedua berkenaan memberi tumpuan kepada tiga elemen utama warisan berkaitan kuda di Malaysia iaitu memanah berkuda, sukan berkuda lasak serta Kuda Bajau Samah atau lebih dikenali sebagai Kuda Padi yang sinonim dengan identiti masyarakat Bajau di Sabah.
Menurut kenyataan syarikat itu, penerbitan siri terbaharu ini turut bertepatan dengan ketibaan Tahun Kuda, sekali gus menambah nilai simbolik kepada koleksi berkenaan khususnya bagi pengumpul setem dan peminat filateli.
Koleksi tersebut menampilkan dua reka bentuk setem dengan ilustrasi yang memaparkan keindahan serta kepelbagaian peranan kuda dalam konteks sukan dan budaya. Turut diterbitkan ialah helaian kecil (miniature sheet) yang direka menggunakan kemasan khas Spot UV bagi menyerlahkan elemen utama visual melalui kesan tekstur dan dimensi tambahan.
Set Folder Kuda Siri 2 ditawarkan pada harga RM55.80 dan mengandungi dua keping setem bernilai RM0.50 dan RM1.30, satu helaian kecil, Sampul Hari Pertama berserta setem, Sampul Hari Pertama bersama helaian kecil serta sebuah folder eksklusif yang direka khusus bagi keluaran berkenaan.
Koleksi berkenaan telah dipasarkan di 90 Biro Filateli di seluruh negara termasuk 13 Pejabat Pos Besar, selain pejabat pos terpilih. Ia juga boleh diperoleh menerusi kedai dalam talian rasmi Pos Malaysia di www.pos.com.my/shop selagi stok masih tersedia.
-NIAGATIMES






















































