Kumpulan usahawan sosial diingatkan tidak terlalu mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata sebaliknya turut bekerjasama dengan pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi menjayakan projek yang akan memberi manfaat kepada masyarakat terutamanya golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).
Pengerusi Yayasan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF), Tun Musa Hitam berkata, keusahawanan sosial bukan sahaja mampu menyelesaikan masalah sosial tetapi ia juga berupaya mengurangkan jurang pendapatan rakyat Malaysia berikutan faktor kemiskinan dikenalpasti sebagai penyumbang terhadap masalah sosial.
“Apabila sesebuah organisasi melaksanakan keusahawanan sosial maka sebahagian daripada keuntungannya akan disalurkan kepada masyarakat dalam pelbagai kaedah seperti pendidikan, perkongsian pengetahuan dan kemahiran. Pada masa sama, ia akan membuka peluang pekerjaan yang lebih banyak pada masa hadapan.
“Berdasarkan tinjauan dalam talian yang dijalankan Yayasan Thomson Reuters pada 2016, Malaysia menduduki tempat kesembilan sebagai lokasi terbaik bagi usahawan sosial, (ini) meletakkan Malaysia dalam kedudukan tidak jauh dari Amerika Syarikat yang menduduki tempat pertama, Kanada (tempat kedua) dan United Kingdom (tempat ketiga),” katanya pada sidang media selepas berucap pada forum Keusahawanan Sosial: Memperkasa Masa Depan di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, semalam.