Potongan 90 peratus permohonan batal nama syarikat SSM

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memperkenalkan tawaran bagi pengurangan kompaun sebanyak 90 peratus daripada nilai asal kompaun untuk mana-mana permohonan pembatalan nama syarikat di bawah Seksyen 549/550 Akta Syarikat 2016.

SSM dalam satu kenyataan berkata, insentif pengurangan kompaun tersebut yang telah pun bermula sejak 17 Ogos lalu masih berjalan sehingga 31 Disember 2020.

“Di bawah inisiatif ini, syarikat dan pengarah syarikat yang telah memohon atau diambil tindakan pembatalan syarikat menurut peruntukan di bawah Seksyen 549/550 Akta Syarikat 2016 layak mendapat pengurangan kompaun sebanyak 90 peratus.

“Kadar pengurangan kompaun 90 peratus ini terpakai kepada semua kompaun yang telah ditawarkan di bawah Akta Syarikat 1965 (AS 1965) dan Akta Syarikat 2016 (AS 2016),” katanya.

Kenyataan yang sama turut memaklumkan bahawa semakan status kompaun boleh dilakukan melalui permohonan e-mel ke ar_compliance@ssm.com.my atau dengan menghubungi talian 03-2299 5334.

“Semakan kompaun juga boleh dilakukan secara atas talian melalui pautan https://www.ssm.com.my/Pages/Quick_Link/e-Compound.aspx atau di portal ezBiz Online di pautan https://ezbiz.ssm.com.my serta di mana-mana pejabat SSM di seluruh Malaysia,” jelasnya.

-NIAGATIMES

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.