Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mendedahkan jumlah dagangan Malaysia pada 2018 kekal kukuh dengan perkembangan 5.9 peratus kepada RM1.876 trilion daripada RM1.771 trilion pada 2017 berjaya dicatatkan.

Menterinya, Datuk Darell Leiking berkata, hasil pertumbuhan eksport yang lebih tinggi daripada sasaran pada tahun tinjauan tidak berdepan sebarang masalah walaupun pasaran global tidak menentu.

“Lebihan perdagangan Malaysia meluas 22.1 peratus kepada RM120.27 bilion, mencatatkan kadar terpantas dalam tempoh 10 tahun sekaligus merupakan lebihan dagangan terbesar sejak 2012. Ini adalah lebihan perdagangan tahun ke-21 berturut-turut sejak tahun 1998,” katanya ketika membentangkan prestasi dagangan Malaysia 2018 di Menara MATRADE, hari ini.

Prestasi eksport didapati naik 6.7 peratus tahun ke tahun kepada RM998.01 bilion manakala import meningkat 4.9 peratus kepada RM877.74 bilion.

Tambah Darell, ASEAN kekal sebagai rakan dagang strategik untuk Malaysia yang mencakupi 27.1 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia pada tahun 2018 bernilai RM509.2 bilion.

Darell Leiking.jpg