Keseluruhan prestasi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) telah mencatatkan peningkatan dari segi sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2018 sebanyak 38.3 peratus iaitu sejumlah RM521.7 bilion berbanding 37.8 peratus (RM491.2 bilion) pada tahun 2017 berdasarkan pada data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini.
SME Corp dalam satu kenyataan berkata, PKS mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6.2 peratus pada tahun 2018 (2017: 7.1 peratus), meningkat berbanding purata pertumbuhan jangka panjang sebanyak 6.0 peratus (2001 hingga 2017). Pertumbuhan KDNK PKS juga terus mengatasi pertumbuhan KDNK keseluruhan iaitu sebanyak 4.7 peratus pada tahun 2018 (2017: 5.7 peratus). Dari segi sumbangan mengikut sektor, sektor perkhidmatan dan pembuatan terus menjadi penyumbang utama dengan gabungan sumbangan sebanyak 82.4 peratus pada tahun 2018.
โNilai ditambah PKS dalam sektor perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan yang kukuh iaitu sebanyak 8.1 peratus pada tahun 2018 (2017: 7.2 peratus), kadar tertinggi sejak tahun 2014. Pertumbuhan tersebut didorong terutamanya oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan kerana perbelanjaan pengguna bertambah baik khususnya dalam tempoh tiga bulan (1 Jun hingga 31 Ogos 2018) berikutan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan pada kadar sifar.
โPertumbuhan nilai ditambah PKS yang lebih tinggi dalam sektor perkhidmatan juga disokong oleh subsektor kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan yang meningkat sebanyak 7.6 peratus (2017: 7.4 peratus), serta subsektor pengangkutan dan penyimpanan serta maklumat dan komunikasi yang berkembang sebanyak 6.9 peratus (2017: 6.8 peratus). Bagi sektor pembuatan, nilai ditambah PKS berkembang sebanyak 5.5 peratus (2017: 6.8 peratus), dipacu oleh produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka serta produk petroleum, kimia, getah dan plastik,โ katanya.