Prestasi kewangan UMW Holdings dapat lonjakan segmen automotif

Diterajui oleh segmen automotif berikutan penjualan yang memberangsangkan oleh UMW Toyota Motor (UMWT) dan 38 peratus syarikat bersekutu Perodua pada bulan Julai, UMW Holdings Berhad (UMW Holdings) menjangkakan prestasi kewangan yang lebih baik pada separuh kedua tahun 2020.

Bahagian pasaran automotif Kumpulan UMW pada bulan Julai dianggarkan pada 52 peratus, lebih tinggi daripada 51.4 peratus yang dicatatkan pada tahun 2019.

Peningkatan penjualan pada bulan Julai didorong terutamanya oleh pengecualian cukai penjualan yang diumumkan oleh kerajaan pada 5 Jun, berkuatkuasa mulai 15 Jun hingga 31 Disember 2020.

UMWT mencatatkan penjualan sebanyak 7,509 unit pada bulan Julai 2020, antara yang tertinggi bagi tahun ini, 70.0 peratus lebih tinggi daripada 4,417 unit yang didaftarkan pada bulan Jun.

Bagi Perodua, Julai merupakan bulan penjualan tertinggi pada tahun ini. Dengan penjualan berdaftar kenderaan sebanyak 23,203 unit, peningkatan sebanyak 9.2 peratus daripada 21,250 unit yang dijual pada bulan Jun.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings, Azmin Che Yusoff berkata, UMWT dan Perodua menunjukkan tahap pemulihan yang kuat berikutan gangguan penjualan pada awal tahun yang disebabkan oleh Covid-19.

“Tambahan pula dengan penjualan yang memberangsangkan oleh UMWT dan Perodua pada bulan Julai, kami kekal optimis.

“Kami juga berterima kasih kepada kerajaan dalam memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi dan menerapkan pengecualian cukai penjualan untuk meningkatkan industri automotif di Malaysia.

“Dengan pelaksanaan langkah-langkah ini, kami yakin dapat mencapai sasaran penjualan kami bagi tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

-NIAGATIMES

UMW-Automotif.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.