Primax 97 Pro-Race kini di semua stesen Petronas

Petronas Dagangan Berhad (PDB) baru-baru ini telah melancarkan bahan api terbaharunya, Petronas Primax 97 dengan Pro-Race, yang dicipta untuk memenuhi permintaan enjin berteknologi tinggi masa kini dan memberikan pemanduan lebih berkuasa, responsif dan efisien.

PDB dalam kenyataan berkata, Petronas Primax 97 dengan Pro-Race baharu ini mempunyai ciri-ciri unik yang dirumus dengan pengubahsuaian teknologi ‘Advanced Dual Friction’ pertama di dunia.

“Teknologi ini 25 peratus lebih efisien dalam mengurangkan geseran berbanding produk sebelumnya. Produk ini juga mampu mengurangkan pelepasan karbon melalui peningkatan interaksi antara bahan api dan minyak pelincir, di samping menambah kecekapan bahan api bagi pemanduan lebih jauh.

“Petrol baharu ini juga mampu menghapuskan sehingga 99.9 peratus deposit di bahagian utama enjin, menyerlahkan potensi kereta untuk mencapai kuasa maksimum dengan mudah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani berkata, Primax 97 dengan Pro-Race baharu adalah petrol terbaik Petronas kerana formulasi baharu ini telah dibangunkan untuk memenuhi teknologi enjin termaju dan keperluan pemanduan berkuasa tinggi pelanggan.

“Dengan mengadaptasikan penggunaan teknologi bendalir dari trek ke jalan raya, kami teruja kerana akhirnya dapat memberikan pelanggan pengalaman pemanduan bersahaja, melalui faedah tiga dalam satu iaitu kuasa, kegerakbalasan dan kecekapan,” ujarnya.

-NIAGATIMES

Primax-97-Pro-Race.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.