Sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac yang lalu, Agrobank telah mengumumkan produk simpanan terbaharu, khusus untuk semua wanita berumur 18 tahun ke atas yang dikenali Agro Farah-i.
Pengerusi Agrobank, Datuk Mustapha Buang berkata, keunikan produk ini terletak pada unsur hibah yang dikongsi untuk setiap akaun yang telah ditandakan kepada akaun Agro Farah-i, sama ada akaun suami atau anak.
“Ciri unik ini adalah untuk mendorong lebih ramai golongan wanita untuk mempunyai simpanan yang banyak dan dalam masa yang sama mereka turut diberikan ganjaran bersama.
“Dengan deposit minimum RM50 sahaja, ia turut membolehkan golongan wanita memulakan simpanan dengan jumlah yang kecil dan seterusnya mendapat lebih banyak ganjaran dengan pertambahan simpanan dari semasa ke semasa pada masa akan datang,” katanya ketika melancarkan Agro Farah-i melalui Facebook Live Agrobank, baru-baru ini.
Tambah Mustapha, produk simpanan berkenaan telah mendapat sambutan yang menggalakkan meskipun belum dilancarkan secara rasmi sebelum ini.
“Agro Farah-i telah diperkenalkan pada bulan Julai 2020 dan setakat 15 Februari 2021, sebanyak 1,870 pembukaan akaun telah dicatat dengan jumlah nilai simpanan berjumlah RM2,971,100,78 juta,” ujarnya.
Pelancaran Agro Farah-i adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Agrobank untuk menyokong pemerkasaan wanita dan simbolik penghargaan terhadap golongan wanita di Malaysia.
Farah yang membawa maksud kebahagiaan dalam bahasa Arab dipilih sebagai nama produk ini untuk melambangkan wanita yang berkarisma dan berwawasan, pintar menguruskan kewangan, dan turut membawa kebahagiaan kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.
-NIAGATIMES