Produktiviti e-dagang Mydin naik 7 kali ganda dengan penyelesaian mobiliti gudang Zebra

Zebra Technologies Corporation (Zebra), baru-baru ini mengumumkan bahawa Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) telah berjaya melancarkan penyelesaian mobiliti gudang (WMS) Zebra di pusat pengedarannya di Seremban bagi menyokong perniagaan e-dagangnya yang berkembang pesat.

Zebra merupakan penyedia penyelesaian digital terkemuka yang membolehkan perniagaan menghubungkan data, aset dan komuniti secara bijak.

Sebagai rangkaian pasar raya besar halal tempatan yang terbesar di Malaysia dengan 68 cawangan di seluruh negara, Mydin berazam menaik taraf perkhidmatannya bagi menampung peningkatan jumlah pelanggannya.

“Sebelum ini, perniagaan e-dagang kami hanya mampu menyokong sekitar 1,500 pesanan sehari. Namun, dengan penyelesaian mobiliti gudang Zebra, kami kini mampu melengkapkan lebih 10,000 pesanan setiap hari,” kata Pengarah IT, Sumber Manusia, Digital dan Pencegahan Kehilangan dan Keselamatan Mydin, Malik Murad Ali.

“Kami sentiasa mencari cara untuk meningkatkan produktiviti operasi kami bagi menaik taraf pengalaman pelanggan kami. Oleh itu, kami melengkapkan kakitangan barisan hadapan kami dengan peralatan teknologi yang lebih canggih untuk meraih keputusan lebih baik,” jelasnya.

Mydin telah memilih komputer mudah alih TC21 Zebra yang ringan dan direka bentuk secara ergonomik. Ia menawarkan keupayaan pengkomputeran yang penting bagi membolehkan kakitangan barisan hadapan meningkatkan ketepatan dan kecekapan kerja.

“Menurut Kajian Pembeli-belah Global Zebra yang terbaharu, hampir 8 daripada 10 responden global dan APAC yang ditinjau lebih cenderung memilih kombinasi beli-belah secara dalam talian dan di kedai fizikal,” kata Pengurus Negara untuk Malaysia dan Brunei, Zebra Technologies, Kym Lim.

“Memandangkan pengguna semakin menuntut pengalaman omni-saluran yang lancar, Mydin dan peruncit-peruncit lain boleh menawarkan pengalaman sedemikian dengan menggunakan teknologi yang betul untuk mendigitalkan dan mengautomasikan aliran kerja,” ujarnya.

-NIAGATIMES

Zebra-WMS.png

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.