MPV Realty Malaysia Sdn Bhd akan memulakan program penyelesaian bersandarkan aset (ABS) nya dalam usaha untuk membantu menyelesaikan masalah hartanah yang tidak terjual di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif MPV Realty Sdn Bhd, David Hew Chee Seng berkata nilai hartanah yang tidak terjual di Malaysia telah mencecah RM19.7 bilion pada suku ketiga tahun lepas.
Untuk memulakan program ABS tersebut, MPV Realty baru-baru ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan RKG Klozer Trust Ltd. (RKG) untuk melantik RKG sebagai pemegang amanah bagi memudahkan proses pelaburan dan melindungi faedah pelabur-pelabur untuk program ABSnya.
Menurut Hew, MPV Realty memulakan program ABS tersebut dengan tujuan untuk menarik dan mengundang lebih ramai pelabur warga asing untuk melabur di dalam pelaburan hartanah di Malaysia melalui amanah.
Jelasnya, ABS adalah strategi menang-menang bagi pemaju hartanah dan pelabur kerana program ABS ini membina jambatan di antara kedua-duanya iaitu pemaju hartanah dan pelabur ke dalam ekonomi baru.
“2021 merupakan tahun yang sukar bagi hampir semua sektor hartanah. Statistik terkini daripada Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) mendedahkan sebanyak 30,290 unit rumah siap dengan nilai RM19.7 bilion tidak terjual pada suku ketiga 2021.
“Program ABS MPV Realty akan memainkan peranan penting dalam memulihkan industri ini dan menangani beberapa isu seperti menyelesaikan sebilangan besar hartanah tidak terjual di negara ini,” ujarnya.
Menurut Hew, pemilihan RKG sebagai pemegang amanah untuk melindungi faedah pelabur-pelabur adalah tepat kerana syarikat perkhidmatan kewangan global itu mempunyai pengalaman yang luas dalam pengurusan kekayaan dan beroperasi dalam 40 negara di seluruh dunia.
-NIAGATIMES