Program Best Exporters, Platform Digital PKS Kebangsaan terus bantu usahawan

SME Bank komited untuk terus melaksanakan inisiatif pembangunan usahawan melalui dua programnya iaitu Program Best Exporters dan Platform Digital PKS Kebangsaan dalam memperkasakan golongan usahawan di Malaysia.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, pihaknya akan terus fokus untuk menyediakan perkhidmatan holistik buat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan sebagai sokongan terhadap aspirasi kerajaan dalam melahirkan lebih ramai usahawan berjaya yang bertaraf antarabangsa.

“SME Bank sentiasa melihat ke hadapan tentang bagaimana pihak Bank dapat membantu sektor PKS negara melalui setiap program intervensi dan inisiatif seperti Best Exporters Program yang memberi nilai tambah untuk membantu usahawan meneroka pasaran antarabangsa.

“Keahlian SME Bank dalam ADFIAP membolehkan kami untuk saling berbincang, berkongsi pengalaman dan pendapat tentang pembangunan sektor PKS di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, MEDAC sentiasa memberi sokongan kepada SME Bank untuk menganjurkan pelbagai program melangkaui pembiayaan bagi menyokong pembangunan usahawan PKS tempatan.

“Komitmen yang ditunjukkan oleh SME Bank dalam mendukung mandat yang diberikan telah mendapat pengiktirafan apabila dua inisiatifnya, Program Best Exporters memenangi anugerah Projek Pembangunan PKS Terbaik dan Platform Digital PKS Kebangsaan telah memenangi anugerah Projek Pembangunan Teknologi PKS Terbaik oleh Persatuan Institusi Kewangan dan Pembangunan di Asia serta Pasifik (ADFIAP), baru-baru ini,” jelasnya.

-NIAGATIMES

Aria Putera SME Bank

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.