Agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), SME Corp Malaysia (SME Corp) telah menganjurkan Majlis Graduasi bagi Program Growbiz.
Program ini merupakan inisiatif di bawah Program Pembangunan Perniagaan Usahawan Mikro (BizME) khusus bagi meningkatkan pengetahuan serta memberi bimbingan kepada usahawan dalam menaiktaraf perniagaan mereka daripada syarikat bersaiz mikro kepada kecil di samping meningkatkan kecekapan dan produktiviti syarikat.
Program perintis ini menggunakan pendekatan hand holding ke atas perusahaan mikro yang merangkumi elemen latihan, coaching dan pemantauan bagi membimbing perusahaan mikro (ME) meningkatkan perniagaan usahawan ke tahap seterusnya.
Program ini dilaksanakan oleh Rakan Pelaksana yang dilantik oleh SME Corp iaitu Entrepreneur Culture Incorporated Sdn. Bhd.
Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Suriani Ahmad memaklumkan bahawa sejumlah 213 program ditawarkan oleh pelbagai kementerian dan agensi kepada Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) dengan peruntukan berjumlah RM14.7 bilion dengan sasaran penerima manfaat sebanyak 479,588 PMKS.
Tambahnya, di bawah agensi KUSKOP sendiri terdapat pelbagai program bantuan yang ditawarkan bagi membantu meningkatkan keupayaan perniagaan dan kemahiran keusahawanan kepada usahawan mikro, termasuklah Program GrowBiz.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy menyatakan bahawa Program GrowBiz merupakan inisiatif baharu di bawah Program Pembangunan Usahawan Mikro yang dilaksanakan oleh pihaknya untuk membimbing 50 usahawan pemilik ME yang terpilih dari seluruh negara.
โProgram ini adalah selari dengan Pelan Strategik Perniagaan 2022-2030 SME Corp untuk membantu perusahaan mikro berkembang menjadi firma bersaiz kecil. Peserta telah didedahkan dengan 10 modul latihan khusus yang telah disesuaikan merangkumi modul keusahawanan dan pengurusan dalam pelbagai
aspek perniagaan,โ jelasnya.
Untuk maklumat lanjut mengenai Program GrowBiz, sila layari www.smecorp.gov.my dan emelkan ke info@smecorp.gov.my atau hubungi 1300 30 6000.
-NIAGATIMES