Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan memperuntukkan RM20 juta daripada inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dengan pengenalan empat Program Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi bagi membantu meringankan beban kewangan koperasi terjejas.
Empat program tersebut adalah Program Penubuhan Koperasi Prihatin Rakyat (KPR), Program Jualan Koperasi Prihatin Rakyat (JKPR), Program Transformasi Ekonomi Gerakan Koperasi (TRANSFER) serta Program Dagang Produk atau Perkhidmatan Koperasi Atas Talian (e-DAPAT).
Program-program ini akan berlangsung dalam tempoh satu tahun bermula Julai 2021 hingga Julai 2022 bagi memastikan momentum perniagaan koperasi kembali stabil.
Menurut Menteri MEDAC, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, SKM menerusi program KPR akan menggalakkan lagi penubuhan koperasi baharu bagi membolehkan kumpulan sasaran iaitu usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan individu terjejas serta hilang punca pendapatan menjalankan aktiviti ekonomi secara berkumpulan melalui koperasi.
โDianggarkan, seramai 1,000 usahawan akan dibantu melalui penubuhan 50 koperasi menerusi peruntukan RM5 juta yang disediakan oleh kerajaan.
โOleh itu, rakyat digalakkan untuk menyokong program JKPR dengan membeli barangan keperluan harian di kedai koperasi yang menawarkan harga yang lebih murah berbanding pasaran tempatan,โ katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagi memastikan aliran tunai koperasi konsisten, sebanyak RM15,000 insentif jualan secara โone-offโ diberikan kepada 200 koperasi yang terlibat secara langsung dalam sektor pemborongan dan peruncitan bagi mengurangkan harga barangan keperluan harian dengan peruntukan mencecah RM3 juta.
โKoperasi juga perlu bersedia menggunakan salah satu atau gabungan mekanisma yang bersesuaian seperti perkhidmatan penghantaran dari rumah ke rumah, sistem pembelian e-dagang dan pesanan melalui media sosial atau aplikasi WhatsApp dan lain-lain milik koperasi,โ jelasnya.
Program TRANSFER pula menumpukan skop program meliputi geran bantuan berjumlah RM100,000 kepada koperasi yang terjejas khususnya dalam sektor pelancongan dan penjagaan diri bagi meneroka perniagaan yang baharu menerusi peruntukan keseluruhan berjumlah RM10 juta.
Manakala bagi program e-DAPAT, tumpuan akan diberikan terhadap peningkatan aksesibiliti dan ketersediaan produk atau perkhidmatan koperasi secara atas talian.
Program ini mensasarkan koperasi kluster mikro, kecil, sederhana dan besar yang mempunyai produk atau perkhidmatan termasuk koperasi kredit, Ar-Rahnu dan lain-lain yang berpotensi untuk dikomersilkan melalui platform atas talian.
Bagi membantu koperasi merancakkan lagi aktiviti promosi dan pemasaran produk serta perkhidmatan mereka secara atas talian, MEDAC menyediakan peruntukan sebanyak RM2 juta menerusi geran bantuan sehingga RM20,000.
โPembiayaan kos ini turut meliputi kos pemasaran digital, pengiklanan dan promosi serta on-board training bagi peralihan platform perkhidmatan koperasi dalam talian,โ jelas Wan Junaidi.
-NIAGATIMES