Program iTekad Mawaddah bantu usahawan golongan asnaf dan B40

Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) menyerahkan sijil penyertaan program iTekad Mawaddah, program keusahawanan yang bercirikan kewangan sosial dan konsep syariah mudarabah kepada 10 usahawan perintis melalui satu sesi yang diadakan secara maya.

Bagi program ini, Bank Muamalat menyediakan platform pelaburan patuh syariah bertujuan memberikan pulangan yang kompetitif kepada pelabur.

Bank Muamalat berkata, usahawan yang menyertai program iTekad Mawaddah, berlandaskan konsep mudarabah, akan menerima dana daripada pelabur untuk menjalankan perniagaan mereka.

“Keuntungan yang dijana akan dikongsi di antara usahawan dan pelabur. Sekiranya berlaku kerugian, kerugian itu akan ditanggung oleh pelabur sahaja.

“Program iTekad Mawaddah akan menyediakan modal kerja sehingga RM10,000 dan latihan perniagaan secara percuma untuk setiap usahawan daripada golongan asnaf dan B40 yang terpilih,” katanya dalam satu kenyataan.

Majlis yang berlangsung secara norma baharu itu disertai 10 usahawan dari sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Kedah dan Johor, dan disaksikan oleh Ketua Pegawai Strategi Bank Muamalat, Mohammad Fairuz Mohd Radi dan pihak pengurusan kanan Bank Muamalat serta wakil daripada perunding latihan yang dilantik iaitu People Systems Consultancy Sdn Bhd dan Serunai COE Sdn Bhd.

Inisiatif yang diterajui oleh Bank Muamalat ini bertujuan menyokong usaha Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membantu usahawan daripada golongan asnaf dan B40 menceburi bidang perniagaan atau memajukan perniagaan mereka. Program iTekad Mawaddah turut terbuka kepada usahawan daripada kumpulan sasar ini yang terkesan oleh pandemik COVID-19.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, bantuan berterusan wajar disalurkan kepada golongan usahawan bagi menyokong pemulihan ekonomi, terutamanya ketika negara terus diancam pandemik COVID-19.

“Matlamat program iTekad Mawaddah adalah untuk memberi manfaat kepada masyarakat tempatan dan memperkasa golongan asnaf dan B40, selaras dengan inisiatif Pengantaraan Berasaskan Nilai atau Value Based Intermediary (VBI) yang didokong oleh Bank Muamalat.

“Program ini juga mendapat sokongan daripada Lembaga Zakat Selangor, Pusat Pungutan Zakat MAIWP, dan agensi zakat negeri lain,” kata Khairul.

-NIAGATIMES

Bank-Muamalat-Gambar-hiasan.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.