Program Jom Digital II cetus kerancakan semula ekonomi PKS wilayah selatan

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Selatan bersama Nexus Produktiviti Peruncitan, Makanan dan Minuman serta kerjasama Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. telah menganjurkan ‘Program Jom Digital II Wilayah Selatan – Bermodalkan Platform Perkongsian Ekonomi’ yang melibatkan penyertaan usahawan, peniaga dan penjaja dari seluruh Malaysia khususnya negeri Johor yang menyaksikan penyertaan hampir 1,000 orang peserta bagi keempat-empat sesi yang telah diadakan.

Pengarah MPC Wilayah Selatan, Roziana Othman berkata, program tersebut diadakan menggunakan platform Webinar iaitu aplikasi secara atas talian melibatkan empat sesi yang bermula pada 13 Mei sehingga 21 Mei 2020 dengan topik yang berbeza.

“Objektif program adalah untuk berkongsi maklumat mengenai platform perkongsian ekonomi yang sedia ada di Malaysia serta menggalakkan PKS menggunapakai platform berkenaan di dalam meningkatkan kecekapan operasi perniagaan.

“Program ini juga turut membantu PKS menggunakan platform digital dalam urusan harian perniagaan dan menggalakkan pemadanan perniagaan di antara pembekal platform perkongsian ekonomi dengan usahawan peruncitan serta makanan dan minuman,” katanya.

Tambah Roziana, perkongsian oleh lapan organisasi seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Shopee, MyBump, ZeptoExpress, Avana, MyCar, PayNet dan Boost kepada usahawan tentang platform pemasaran digital yang sedia di samping memberi peluang kepada usahawan, peniaga dan penjaja untuk berkolaborasi adalah satu usaha untuk memacu kejayaan dan produktiviti usahawan.

Setiap sesi yang dijalankan juga telah melibatkan ucapan oleh Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Haji Azmi bin Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Mohd Izhar Ahmad; dan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia, Datuk Abdul Latif Abu Seman.

MPC-WS-Kredit-foto-Perbadanan-Produktiviti-Malaysia-MPC-Wilayah-Selatan.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.