Program Jualan Madani Raya KUSKOP santuni usahawan dan rakyat

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan RM1.6 juta nilai jualan sepanjang penganjuran Program Jualan MADANI Raya (PJMR) KUSKOP 2024.

Program yang dianjurkan bermula 8 Mac sehingga 9 April ini turut menjangkakan seramai 300,000 kehadiran pengunjung yang berlangsung sempena Festival Ramadan Putrajaya 2024 bertempat di Dataran Anjung Syawal, Presint 3, Putrajaya.

KUSKOP berkata, PJMR 2024 menyediakan 60 reruai jualan melalui penyertaan 28 usahawan melibatkan 42 reruai dan 13 koperasi dengan 18 reruai melalui pelbagai tawaran menarik barangan keperluan persiapan Aidilfitri dan keperluan harian pada kadar harga diskaun sehingga 20 peratus kepada pengunjung sekali gus membantu meringankan bebanan rakyat.

“Selain itu, bagi menyokong perniagaan usahawan dan koperasi, sesi ‘walkabout’ KUSKOP ke tapak jualan telah diadakan semalam dengan kehadiran Menteri; Datuk Ewon Benedick dan Timbalan Menteri; Datuk Ramanan Ramakrishnan bersama-sama Pengurusan Tertinggi KUSKOP serta ketua-ketua agensi di bawah KUSKOP.

“Antara pengisian menarik semasa sesi ‘walkabout’ tersebut ialah pelancaran sesi ‘happy hour’ dengan tawaran diskaun harga barangan sehingga 30 peratus dan penyampaian hadiah cabutan bertuah berupa peralatan elektrik dan hamper sumbangan agensi-agensi di bawah KUSKOP,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah KUSKOP, para pengunjung juga dapat menikmati penjimatan harga barangan persiapan Aidilfitri selain daripada memperkasa dan mempromosikan perniagaan usahawan dan koperasi.

“Pelaksanaan PJMR KUSKOP 2024 ini diharapkan dapat merancakkan aktiviti keusahawanan dan koperasi selaras dengan kerangka Malaysia MADANI di bawah nilai ‘kesejahteraan’ yang membawa elemen terangkum dan keseimbangan hidup masyarakat bagi menuju sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera,” ujarnya.

-NIAGATIMES

PJMR2024.jpeg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.