Program Keusahawanan Asnaf Agrobank lahir kumpulan usahawan sate

Agrobank membuka peluang rezeki baharu kepada lapan usahawan daripada golongan asnaf dalam satu kerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Ekza Food Resources, menerusi ‘Program Keusahawanan Asnaf – Jom Sate’.

Program kerjasama ini diadakan untuk menggalakkan semangat dan membina kemahiran keusahawanan di kalangan komuniti asnaf di Wilayah Persekutuan bagi membantu meningkatkan taraf sosial ekonomi mereka, khususnya dalam menghadapi cabaran ekonomi berikutan penularan pandemik Covid-19 ini.

Pengerusi Agrobank, Datuk Mustapha Buang berkata, proses membina perniagaan sate bagi lapan bakal usahawan terpilih yang mengikuti program ini telah dipermudahkan di mana mereka menerima bantuan dan sokongan daripada kolaborasi tiga pihak iaitu Agrobank, MAIWP dan Ezka Food Resources.

“Seramai lapan orang usahawan yang terdiri daripada komuniti asnaf diberi bantuan zakat dan kemahiran latihan, termasuk proses pembelian peralatan membakar dan bahan mentah, memerap rempah ratus serta mencucuk sate.

“Ssemuanya diuruskan bersama agar usahawan ini boleh terus memulakan perniagaan mereka dan terus berusaha untuk meningkatkan taraf sosial ekonomi mereka di masa hadapan,” katanya ketika melancarkan Program Keusahawanan Asnaf – Jom Sate secara maya di laman Facebook Agrobank, baru-baru ini.

Program Keusahawanan Asnaf Agrobank ini merupakan inisiatif kali kedua oleh Agrobank dalam usaha pengagihan zakat kepada golongan asnaf. Langkah inovatif ini turut melibatkan beberapa pihak lain di bawah program strategik dan berstruktur Agrobank iaitu, Program Keusahawanan Asnaf Agrobank.

-NIAGATIMES

Agrobank-usahawan-sate-Gambar-hiasan.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.