Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) telah menjalinkan kerjasama dengan memperkenalkan program LESTARI sebagai inisiatif memperkasakan 300 syarikat-syarikat vendor sektor perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) milik usahawan bumiputera.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, daya usaha tersebut merupakan salah satu daripada kerjasama kementeriannya bersama rakan strategik daripada entiti perniagaan dalam usaha mewujudkan ekosistem keusahawanan yang kondusif dan bersepadu.

“Program LESTARI adalah kesinambungan komitmen berterusan Petronas dalam memperkasa usahawan bumiputera. Program ini adalah satu penanda aras kepada entiti perniagaan yang lain dalam melonjakkan usahawan tempatan untuk menjadi terkenal di peringkat nasional, serantau dan global mengikut industri masing-masing.

“MED berhasrat untuk melahirkan lebih ramai usahawan termasuk di kalangan Kumpulan B40 untuk menjadi pengilang, pembekal komponen atau penyedia perkhidmatan yang kompetitif dengan kerjasama syarikat tempatan seperti Petronas bagi menguasai pasaran domestik dan seterusnya menembusi pasaran global,” katanya pada majlis pelancaran Program LESTARI: Inisiatif Pemerkasaan Keusahawanan Bumiputera di Hotel Mandarin Oriental Kuala Lumpur, hari ini.