Program N-Gene platform bimbingan perniagaan buat graduan belia

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melalui Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (PROTEGE) telah melancarkan Program New Gen Entrepreneurs Online Bootcamp (N-GENE) untuk menggalakkan bidang keusahawanan.

Program ini merupakan program berstruktur yang akan membantu 2,000 orang belia dan graduan memulakan perniagaan. Ianya merupakan kesinambungan daripada program PROTEGE – Ready to Work yang akan menyuntik semangat graduan belia untuk menjadikan bidang keusahawanan sebagai kerjaya utama mereka setelah tamat pengajian.

MEDAC berkata, kementeriannya prihatin dengan persaingan dalam mendapatkan peluang pekerjaan
yang terhad dalam situasi pandemik ini yang memerlukan para graduan keluar daripada kepompong pemikiran konvensional.

“Peserta Program N-GENE akan dilatih untuk memulakan perniagaan melalui latihan keusahawanan berstruktur yang merangkumi latihan asas keusahawanan serta bimbingan perniagaan selama tujuh bulan yang diterajui oleh PROTEGE.

“Selain daripada latihan keusahawanan dan bimbingan perniagaan, peserta program ini juga akan diberikan geran mikro permulaan perniagaan bernilai RM 3,000 seorang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah MEDAC, program berimpak tinggi khususnya kepada golongan graduan belia ini turut mendapat sokongan daripada SME Bank CEDAR, PERNAS, INSKEN dan juga TEKUN Nasional.

“Program ini terbuka kepada belia atau graduan yang berusia antara 18 hingga 30 tahun yang berminat untuk menjadi usahawan atau kepada mereka yang baru memulakan perniagaan digalakkan untuk memohon,” jelasnya.

Program N-GENE yang merupakan salah satu inisiatif di bawah PEMERKASA telah memperlihatkan kolaborasi antara MEDAC, Kementerian Pengajian Tinggi serta Kementerian Belia dan Sukan.

Sehingga 30 Jun 2021, rekod menunjukkan seramai 1,238 orang daripada kumpulan sasaran telah menerima manfaat dari kolaborasi ini.

Bagi sebarang maklumat lanjut, syarat dan cara permohonan Program N-Gene dapat diakses melalui pautan laman web dan media sosial rasmi PROTEGE. Sekretariat juga boleh dihubungi melalui talian 03-2935 8989 atau e-mel protege.ngene@medac.gov.my.

-NIAGATIMES

KREDIT-FOTO-MEDAC.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.