Program RM50 juta Pembiayaan Berasaskan Hasil perluas akses modal kepada PMKS

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, melancarkan Program RM50 juta Pembiayaan Berasaskan Hasil (Revenue-Based Financing) oleh Dattel Asia Group, dalam usaha memperluas akses modal kepada usahawan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Beliau berkata, pembiayaan alternatif melalui program seumpama ini merupakan satu inisiatif yang baik bagi menyediakan peluang lebih luas kepada usahawan serta PMKS untuk mendapatkan akses kepada modal perniagaan.

“Kerajaan sentiasa mengalu-alukan dan menyambut baik sebarang usaha pihak swasta dalam mencipta nilai dan meletakkan asas untuk memberikan impak jangka panjang yang lebih signifikan ke atas ekosistem perniagaan PMKS serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Inilah antara hasrat kerajaan melalui Dasar Keusahawanan Nasional 2030 iaitu memperluas akses kepada pasaran modal bagi meningkatkan keupayaan dan daya saing PMKS di peringkat domestik dan global,” katanya ketika merasmikan program itu sempena OHSEM360 2025, di World Trade Centre Kuala Lumpur, semalam.

Program OHSEM360 bertemakan ‘Bisnes Mantap dengan AI dan Data’ mengetengahkan pendekatan pembiayaan yang lebih fleksibel, berdasarkan prestasi hasil perniagaan usahawan, satu alternatif kepada pinjaman konvensional.

Ewon berkata, inisiatif oleh Dattel Asia Group merupakan contoh jelas bagaimana inovasi kewangan dan teknologi boleh memberi kesan langsung kepada pertumbuhan dan kelangsungan usahawan serta PMKS.

“Ia juga menunjukkan bahawa kerajaan dan sektor swasta memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan ekosistem keusahawanan mampan demi manfaat rakyat dan ekonomi negara,” katanya.

Jelas Ewon, kementeriannya terbuka dan mengalu-alukan penglibatan sektor swasta dalam menyediakan pembiayaan alternatif.

“Inisiatif seperti ini bukan sahaja dapat menambah aliran modal kewangan dalam pasaran, tetapi juga menangani kekangan capaian PMKS terhadap sumber pembiayaan alternatif. Ini secara langsung mengurangkan kebergantungan kepada dana atau geran kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengajak lebih banyak syarikat swasta tampil menghulurkan sokongan dalam bentuk pembiayaan inovatif dan lestari, selari dengan matlamat kerajaan untuk memperkasa PMKS sebagai tunjang kepada ekonomi negara.

-NIAGATIMES

kredit-foto-KUSKOP.jpg