Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dengan kerjasama Jawatankuasa Pentadbiran Taman Industri China-Malaysia Qinzhou menganjurkan Persidangan Promosi Industri Sawit Malaysia-China ‘Two Countries, Twin Parks’ bagi memperkukuh kerjasama kedua-dua negara dalam menggalakkan aktiviti industri sawit.
Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), Datuk Yusran Shah Mohd Yusof berucap mewakili Menteri Perladangan dan Komoditi merasmikan persidangan berkenaan, menegaskan inisiatif Two Countries, Twin Parks menandakan fasa baharu kerjasama Malaysia-China di bawah jalinan ekonomi Belt and Road bagi galakan perdagangan minyak sawit mampan, pelaburan bagi industri hiliran serta pertumbuhan yang dipacu inovasi melalui penyelidikan hingga pengkomersialan.
Kerjasama tersebut menghubungkan Taman Industri China-Malaysia Qinzhou di Guangxi dan Taman Industri Malaysia-China Kuantan, Pahang melalui Saluran Hijau Sawit (Green Channel for Oil Palm) antara Pelabuhan Kuantan, Klang dan Qinzhou bagi pergerakan logistik yang lebih cekap, memperkukuh kebolehjejakan dan pensijilan mampan serta pelaburan dua hala industri pemprosesan hiliran.
“Produk berasaskan oleokimia sawit merupakan komponen asas kepada industri penjagaan diri, pembersihan rumah, tekstil dan pelincir yang menyumbang nilai tambah yang tinggi dalam pasaran pengguna China dan ASEAN,” katanya.
Dihadiri lebih 150 peserta meliputi pegawai kerajaan, pemimpin industri serta wakil daripada syarikat-syarikat Malaysia dan China dalam sektor minyak sawit, oleokimia dan tenaga boleh diperbaharui, persidangan tersebut membuka ruang kerjasama yang lebih erat dan mampan antara pemain dalam industri, membina kelompok industri oleokimia hijau serta membawa pertumbuhan ekonomi dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
-NIAGATIMES






















































