Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) optimis bahawa ekosistem keusahawanan yang kondusif dapat diwujudkan di Jelebu menerusi pembinaan kedai koperasi yang bakal dibangunkan oleh agensinya, UDA Holdings Berhad (UDA).
MEDAC berkata, projek empat lot rumah kedai dua tingkat yang akan diberi nama UDA Niaga itu dibina di atas tanah berkeluasan 0.17 ekar milik Kakitangan Kerajaan Daerah Jelebu Berhad di Kuala Klawang dengan jangkaan tempoh selama lapan bulan untuk disiapkan.
“Anggaran Kos Pembangunan Kasar sebanyak RM1.7 juta dengan menggunakan geran yang disediakan oleh kerajaan bagi menguruskan serta membangunkan projek yang kemudiannya akan diserahkan kepada pemilik tanah setelah ia siap dibina.
“Projek pembinaan kedai koperasi ini bakal menjadi pemangkin dalam menjana ekonomi setempat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Menteri MEDAC, Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pembinaan UDA Niaga itu dijangka berpotensi dijadikan sebagai ‘one-stop centre’ untuk usahawan di kawasan tersebut.
“Ia juga mungkin boleh menjadi Pusat Sehenti untuk agensi-agensi di bawah MEDAC, seterusnya memudahkan penduduk tempatan mendapatkan maklumat berkaitan insentif serta program keusahawanan yang disediakan oleh kami.
“UDA Niaga yang berdekatan dengan sekolah-sekolah, pejabat-pejabat kerajaan dan juga terletak di tengah-tengah bandar Kuala Klawang ini akan memberi manfaat kepada komuniti.
“Ia juga merupakan salah satu usaha produktif oleh pihak koperasi bagi menggalakkan aktiviti keusahawanan di kalangan ahli koperasi, usahawan dan juga masyarakat setempat,” jelasnya.
-NIAGATIMES