Projek kereta nasional ketiga: Lebih banyak stesen pengecas EV bakal dibuka

Pengusaha automotif serta pemilik kenderaan elektrik di Malaysia kini boleh mengukir senyuman apabila perancangan untuk mewujudkan lebih banyak stesen pengecas kenderaan elektrik (chargEV) ke seluruh negara akan dilaksanakan seiring projek kereta nasional ketiga berjalan.

Khabar gembira tersebut nampaknya telah menepis segala keraguan terhadap keupayaan sektor pembuatan dalam menghasilkan lebih banyak kuantiti daya pengeluaran barangan berteknologi tinggi serta persepsi masyarakat untuk lebih terbuka menerima Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) dapat diubah.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Indursri, Dr. Ong Kian Ming berkata, satu ekosistem untuk perspektif yang lebih holistik perlu diwujudkan dengan melihat dasar Industri 4.0 secara menyeluruh bagi meningkatkan peluang perdagangan baharu sepertimana yang dilakukan oleh dua kuasa besar automotif di rantau Asia Tenggara, Thailand dan Indonesia.

“Kita perlu berfikiran lebih jauh dengan tidak hanya melihat kepada pembangunan kenderaan elektrik beroda empat (kereta) sahaja. Tetapi juga wajar memberi perhatian kepada kenderaan seperti bas dan kenderaan elektrik beroda dua (motosikal).

“Selain itu, kemudahan stesen pengecas kenderaan elektrik juga perlu dipertingkatkan dengan penyediaan lebih banyak stesen pengecas kenderaan elektrik di stesen minyak serta pusat beli-belah.

“Saya percaya dalam masa yang sama langkah ini mampu menyumbang pendapatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia memandangkan ia melibatkan pelaburan daripada sektor swasta,” katanya pada Persidangan Automotif Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia, hari ini.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.