Kerajaan mengekalkan pendirian tegas dalam memastikan pembeli rumah tidak menjadi mangsa projek perumahan terbengkalai dengan menyenarai hitam pemaju serta ahli lembaga pengarah syarikat terbabit.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, sesebuah projek boleh dianggap terbengkalai mengikut Seksyen 11(1)(c) Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118), sekiranya gagal disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan dalam perjanjian jual beli dan tiada aktiviti ketara di tapak pembinaan selama lebih enam bulan.
“Setelah projek disahkan terbengkalai, pemaju dan ahli lembaga pengarah syarikat terbabit akan disenarai hitam. Mereka tidak dibenarkan memohon lesen pemajuan baharu dan Akaun Pemajuan Perumahan (HDA) akan dibekukan,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2026 bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menambah, kajian menyeluruh terhadap Akta 118 sedang dilaksanakan bagi memperkukuh tadbir urus dan meningkatkan keberkesanan pengurusan pemajuan perumahan.
Langkah ini bertujuan memastikan hak dan kepentingan pembeli rumah sentiasa terjamin.
Menurutnya, pemaju masih dibenarkan menawarkan insentif bagi menarik pembeli, tetapi mereka wajib mematuhi undang-undang.
“Sebarang kenyataan mengelirukan atau representasi palsu adalah kesalahan dan boleh dikenakan kompaun,” katanya.
Aiman Athirah turut menegaskan, semua spesifikasi projek mesti diperjelaskan dalam Perjanjian Jual Beli (PJB) supaya pembeli mengetahui dengan jelas ciri rumah yang dibeli. Sekiranya berlaku ketidakpatuhan, pembeli berhak merujuk perkara itu ke mahkamah atau Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah.
Tambahnya, tempoh tanggungan kecacatan (DLP) selepas penyerahan rumah ialah 24 bulan, di mana pemaju bertanggungjawab memperbaiki sebarang kecacatan atau kerja yang tidak menepati spesifikasi PJB.
“Jika timbul pertikaian, termasuk kegagalan mematuhi terma PJB, pembeli boleh memfailkan kes di tribunal,” ujarnya.
Langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan industri perumahan berjalan dengan telus dan pembeli mendapat perlindungan sewajarnya.
-NIAGATIMES






















































