PROTON jimat kos RM107.5 juta dengan cara inovatif dan kreatif

Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PROTON) telah berjaya mencapai penjimatan kos sebanyak RM107.5juta hasil dari aktiviti penambahbaikan proses ke arah peningkatan kualiti semenjak PROTON mula beroperasi dari tahun 1983.

Menurut Ketua Jabatan CIMO, Ramli Ahmad, “Dari tahun 2008 sehingga tahun 2020, pencapaian ini merupakan impak dari inisiatif peningkatan kualiti produk, pengurangan masa menunggu dalam proses kerja, penggunaan mesin secara optimum melalui penyelenggaraan yang berkesan, pengurangan pembaziran dalam proses penghantaran, dan penambahbaikan persekitaran bagi mengurangkan kemalangan di tempat kerja.”

Usaha ini membuktikan bahawa PROTON mampu menghasilkan kereta nasional berkualiti tinggi setanding dengan kereta jenama luar dan mendokong aspirasi negara menjadi sebuah negara perindustrian serta meningkatkan kemahiran rakyat di dalam bidang teknologi tinggi.

PROTON telah berkongsi kejayaan dan amalan terbaik dalam proses penambahbaikan inovasi melalui pendekatan Kaizen dan aktiviti kecil berkumpulan (ICC).

Menurut Pengarah Bahagian Pembangunan Kecemerlangan Organisasi, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Roziana Othman, “Program Perkongsian Amalan Terbaik anjuran MPC ini dijalankan secara atas talian dan dihadiri oleh 192 peserta dari pelbagai sektor bermula April yang lalu.

“Perkongsian ini telah memberi inspirasi dan motivasi kepada semua peserta untuk menanda aras inisiatif penambahbaikan kualiti, produktiviti, keselamatan dan pengurangan kos menggunakan metodologi penyelesaian masalah secara sistematik.”

PROTON telah mula menyertai Konvensyen Team Excellence anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) sejak 2010. Sehingga tahun lepas, sebanyak 120 kumpulan telah bertanding di Konvensyen Team Excellence di mana 10 kumpulan telah berjaya menerima pelbagai anugerah di peringkat nasional.

Penyertaan dalam konvensyen ini secara tidak langsung dapat mengukuhkan pembudayaan inovasi, kualiti dan produktiviti bagi membantu pekerja meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan bakat dengan lebih tangkas.

Kini, semua pekerja berkebolehan menggunakan pendekatan problem-solving bagi menyelesaikan isu ketidakcekapan dan pembaziran di PROTON dengan pelaksanaan idea penambahbaikan yang inovatif dan kreatif seterusnya dapat meningkatkan motivasi mereka di mana pekerja diberi ganjaran atas komitmen yang ditunjukkan.

-NIAGATIMES

PROTON-Gambar-hiasan-kredit-Proton-Cars.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.