Pengeluar kereta nasional, PROTON meraikan ulang tahun ke-40 penubuhannya pada majlis gemilang di Malaysia International Trade and Exhibition Centre di Kuala Lumpur, semalam. Acara itu turut menyaksikan pelancaran model terbaharu syarikat, Proton X90, yang menandakan kemasukan jenama ke dalam pasaran Kenderaan Tenaga Baharu (NEV).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir melancarkan secara rasmi model siri X ketiga dalam barisan kenderaan utiliti sukan (SUV) PROTON tersebut dengan diiringi Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.
Pelancaran Proton X90 bukan sahaja menambah model ketiga kepada rangkaian SUV jenama yang terkemuka di pasaran, tetapi ia juga merupakan tawaran NEV syarikat.
Model baharu ini dijana oleh enjin TGDi 1.5 liter yang dipadankan dengan sistem sinergi motor elektrik 48V, ia menjanjikan penjimatan penggunaan bahan api, pelepasan karbon yang lebih rendah, prestasi yang lebih baik dan pengalaman pemanduan yang lebih lancar.
Pengerusi PROTON, Datuk Seri Syed Faisal berkata, misi syarikatnya untuk menyediakan penyelesaian mobiliti kepada pelanggan sambil membantu membangunkan industri automotif negara tidak berubah dengan penerokaan segmen baharu yang sejajar dengan aspirasi kerajaan dan perubahan permintaan pengguna apabila pembeli mula beralih kepada NEV.
“Proton X90 adalah langkah pertama kami ke arah melaksanakan strategi baharu ini dan terdapat banyak lagi produk dalam perancangan kerana PROTON ingin meningkatkan kehadiran kami dalam segmen pasaran baharu yang menarik ini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Geely Holding Group, Eric Li Shufu berkata, sebagai rakan kongsi rapat, kepimpinan inovasi global Geely, rangka kerja modul asas, dan produk elektrik dan pintar adalah kunci untuk menyokong pembangunan masa depan PROTON.
“Pada tahun-tahun akan datang, Geely akan terus menyemai sistem bernilai tinggi dan teknologi terkini ke PROTON untuk meningkatkan keupayaan sistematiknya untuk mencapai manfaat bersama,” ujarnya.
-NIAGATIMES