Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mahu mencontohi Provinsi Jiangxi di China untuk memacu perindustrian di Sabah.
Sebaik sahaja tiba di Bandaraya Nanchang pada Sabtu, Mohd Shafie melakukan kunjungan hormat ke atas Gabenor Jiangxi, Yi Lianhong, di Rumah Tetamu Negeri Qianhu, dengan kedua-dua pemimpin menandatangani Surat Hasrat untuk mewujudkan hubungan wilayah berkembar.
Sabah dan Jiangxi berhasrat menerokai perdagangan, pelaburan, pertanian dan pelancongan untuk menjana manfaat bersama dan menggalakkan kemakmuran dan pembangunan bersama.
Mohd Shafie berkata beliau telah memilih untuk melawat Jiangxi atas faktor kedekatannya dengan Sabah dan kepesatan pertumbuhan ekonominya yang menyaksikan Keluaran Dalam Negeri Kasar provinsi itu meningkat 8.7 peratus kepada RMB 2.19 trllion (RM1.35 trilion) pada 2018 berbanding pada tahun sebelumnya.
โSabah sudah menikmati jumlah tertinggi ketibaan pelancong China di Malaysia tetapi sebagai negeri pengeluar minyak terbesar dan kedua terbesar pengeluaran gas asli (di Malaysia), ia mempunyai begitu banyak untuk ditawarkan kepada pelabur China juga,โ katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam responsnya, Yi berkata beliau berbesar hati untuk mengalu-alukan kunjungan tetamunya itu dan mencadangkan hubungan diperluaskan lagi untuk melangkaui perdagangan dan ekonomi dengan turut meliputi kebudayaan dan pendidikan. – BERNAMA