Prudential, UOB Malaysia lancar PRUPrime Gain perkukuh perancangan kekayaan

Prudential Assurance Malaysia Berhad (PAMB) bersama UOB Malaysia memperkenalkan PRUPrime Gain, iaitu penyelesaian simpanan baharu yang direka bagi membantu pelanggan mengekalkan nilai kekayaan sedia ada sambil mewujudkan peluang pertumbuhan jangka panjang menerusi pendekatan pelaburan yang lebih tersusun.

Pelancaran produk itu mencerminkan usaha kedua-dua institusi berkenaan memenuhi perubahan keperluan pengguna yang kini semakin memberi perhatian terhadap keseimbangan antara jaminan kewangan dan potensi pertumbuhan aset dalam perancangan kewangan mereka.

Menurut kenyataan bersama, peningkatan jangka hayat serta kesedaran yang lebih tinggi terhadap kepentingan perancangan persaraan mendorong lebih ramai individu mencari penyelesaian kewangan yang mampu menyediakan perlindungan modal di samping menjana pulangan dalam tempoh panjang.

PRUPrime Gain menawarkan manfaat kemandirian dan kematangan yang dijamin sekurang-kurangnya bersamaan 100 peratus daripada jumlah premium yang dibayar, selain menyediakan booster kesetiaan tahunan bagi menyokong pertumbuhan nilai simpanan pelanggan.

Pada masa sama, sebahagian premium akan dilaburkan ke dalam PRULink Equity Index Fund yang menjejaki indeks ekuiti global, sekali gus memberikan pendedahan kepada portfolio pelaburan antarabangsa yang pelbagai.

Produk itu turut menawarkan proses penyertaan yang lebih mudah menerusi Tawaran Penerimaan Terjamin (Guaranteed Issue Offer, GIO) dengan had premium tahunan sehingga RM1 juta.

Ketua Pegawai Pelanggan, Pemasaran dan Produk PAMB, Chee Foong Wai berkata PRUPrime Gain dibangunkan bagi memenuhi keperluan pelanggan yang mahu mengurus ketidaktentuan ekonomi tanpa menjejaskan matlamat kewangan jangka panjang.

“Produk ini menggabungkan elemen kepastian dan peluang pertumbuhan, sejajar dengan perubahan cara pengguna membuat keputusan kewangan yang kini lebih menitikberatkan keseimbangan antara kedua-duanya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Kewangan Peribadi UOB Malaysia, Elaine Fan berkata semakin ramai pelanggan memilih pendekatan yang lebih teliti dalam merancang kewangan dengan memberi penekanan kepada aspek pemeliharaan serta pertumbuhan kekayaan.

Beliau berkata PRUPrime Gain menawarkan gabungan kestabilan dan potensi peningkatan pulangan, sekali gus menyokong matlamat kewangan pelanggan dalam jangka panjang menerusi penyelesaian yang mudah diakses dan tersusun.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Perkongsian PAMB, Eric Wong berkata pelancaran produk berkenaan turut menandakan ulang tahun ke-15 kerjasama bankasurans antara Prudential dan UOB Malaysia.

Beliau berkata kedua-dua organisasi akan terus memperkukuh kerjasama strategik itu dengan menawarkan penyelesaian kewangan yang memenuhi keperluan pelanggan pada pelbagai peringkat kehidupan, termasuk dalam aspek perlindungan, pemeliharaan kekayaan, pengumpulan aset serta perancangan kewangan jangka panjang.

PRUPrime Gain kini ditawarkan kepada pelanggan UOB Malaysia sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kedua-dua organisasi menyediakan penyelesaian kewangan yang lebih komprehensif.

-NIAGATIMES

UOB-Prudential.jpg