PUNB komited terus bantu usahawan bumiputera

Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) telah menyalurkan 75 peratus daripada peruntukan sebanyak RM200 juta dalam Belanjawan 2019 selain dana dalamannya untuk membiayai kegiatan pembangunan perniagaan usahawan bumiputera.

Ketua Pegawai Eksekutif Izwan Zainuddin berkata usahawan sektor automotif serta makanan dan minuman merupakan dua kumpulan penerima terbesar daripada jumlah pembiayaan tersebut.

“Kami menjangkakan dana tersedia ini dapat disalurkan sepenuhnya menjelang akhir tahun.

“Menerusi Belanjawan 2020, PUNB diperuntukkan RM150 juta lagi, selain tambahan dana dalaman kami, oleh itu, kami akan meneruskan usaha membantu usahawan bumiputera,” katanya kepada pemberita di luar Simposium Runcit Kebangsaan (SParK) 2019, baru-baru ini.

Acara itu dirasmikan oleh Pengerusi PUNB, Datuk Hazimah Zainuddin.

Mengenai prestasi usahawan bumiputera di bawah skim tersebut, Izwan berkata mereka mencatatkan kemajuan yang baik dan menunjukkan banyak peningkatan dengan memanfaatkan dana yang disalurkan.

Bagi masa akan datang, beliau berkata PUNB akan kekal menumpukan sektor runcit dan borong.

“Kami juga melaksanakan beberapa usaha untuk memperkasakan usahawan bumiputera. Ia akan diumumkan kemudian,” katanya.

-BERNAMA