Pusat beli-belah Toppen teruja dengan penyertaan pelbagai jenama baharu yang akan membuka ruangan kedainya di pusat beli-belah itu yang menjadi tempat pertemuan di Johor. Dengan berkeluasan 105,000 kaki persegi ruang sewaan kasar (GLA), jenama baharu termasuk Decathlon, Lulu Grocer dan Nitori akan menyokong usaha Toppen dalam mencipta destinasi yang menggalakkan pengalaman aktif komuniti setempat.
Sejak dilancarkan pada tahun 2019, Pusat Beli-belah Toppen telah berkembang menjadi pusat ruangan perkumpulan komuniti yang popular di Johor.
Dengan keluasan 1.2 juta kaki persegi GLA, Pusat Beli-belah Toppen menempatkan lebih 300 penyewa dengan kadar sewaan 92 peratus yang dimonopoli oleh penyewa utama seperti IKEA Tebrau, TGV Cinemas, Harvey Norman dan Sports Direct.
Antara tarikan utamanya adalah pelancaran gedung barangan sukan terbesar di dunia, Decathlon. Ia merupakan pembukaannya yang pertama di Selatan Malaysia. Dijangka dibuka pada Januari 2023, ruang yang berkeluasan 50,000 kaki persegi itu akan membawa rangkaian sukan penuh Decathlon, termasuk Studio Deca yang menawarkan kelas kecergasan dan taman permainan dengan konsep ruangan terbuka yang berkeluasan 4,000 kaki persegi.
Dengan objektif untuk memenuhi keperluan komuniti yang semakin berkembang di kawasan Tebrau, Toppen juga mengalu-alukan pembukaan cawangan pertama Lulu Group International di Selatan Malaysia. Kumpulan pasar raya besar itu akan memperkenalkan pasar raya baharu yang berlainan konsep di di Toppen, Lulu Grocer yang dijadualkan untuk beroperasi sepenuhnya pada September 2022 ini.
Satu lagi penyewa utama yang mengembangkan perniagaannya ke Selatan Malaysia ialah Nitori, salah satu syarikat perabot dan hiasan rumah terbesar di Jepun yang akan melengkapi kategori rumah dan kediaman di Toppen. Nitori dijangka dibuka pada Januari 2023, dan ia menawarkan pelbagai jenis gaya hidup di seluruh dunia daripada bahagian dalaman rumah sehingga kecantikan.
“Kami berbesar hati dengan penyertaan jenama tempatan dan antarabangsa ini. Visi kami adalah untuk mejadikan Toppen sebagai nadi dan hab komuniti Johor, di samping menjadi tempat pertemuan untuk mereka yang mencari pengalaman aktif dan gaya hidup yang seimbang,” ujar Pengurus Besar Toppen, Vasilisa Kuznetsova.
-NIAGATIMES