Pusat Kecemerlangan Area 57 dibangunkan di Technology Park Malaysia

Perkembangan industri berfokus inovasi Unmanned Aerial Vehicle (UAV) dan Unmanned Aircraft Systems (UAS) di Malaysia terus giat dimajukan dengan penyediaan Area 57, sebuah pusat kecemerlangan penyelidikan dan pembangunan serta pemerkasaan bakat yang dibangunkan oleh Technology Park Malaysia (TPM).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba hadir merasmikan pra-pelancaran Pusat Kecemerlangan Area 57, semalam.

Technology Park Malaysia berkata, Pusat Kecemerlangan Area 57 ini dapat membantu Malaysia mencapai matlamatnya untuk menjadi peneraju utama dalam industri teknologi dron di mana pasaran dron global diunjurkan mencapai AS$41.3 bilion pada 2026.

“Melalui Area 57, Usaha pembangunan teknologi dron harus dipergiatkan. Perkhidmatan melalui dron dapat diperluas dan ditingkatkan dalam pelbagai sektor seperti e-dagang, logistik penghantaran bekalan penting atau perubatan ke kawasan luar bandar, terpencil, atau yang terjejas oleh bencana alam; pengurusan infrastruktur dan pemantauan sekuriti dalam penyelenggaraan bangunan pintar, bandar pintar atau maritim; agrikultur urban dan lain-lain lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Area 57 akan menyediakan infrastruktur bersepadu di kawasan seluas lima ekar bagi perkhidmatan penyelidikan, pembangunan, pengujian, pensijilan, pembuatan, pengkomersialan serta penyelenggaraan penyelesaian dan teknologi berkaitan dron untuk memanfaatkan komuniti pengguna dan pengeluar dron.

Area 57 merupakan pusat sehenti yang pertama untuk inovasi Sistem Pesawat Udara Tanpa Pemandu (UAV dan UAS) di wilayah tengah Malaysia.

Pusat sehenti perkembangan industri dron ini disediakan dengan landasan dron 100 meter, kawasan jaring dron 300 meter persegi, tapak mock up pengujian dron, hangar, makmal, peralatan pembuatan, fasiliti latihan dan kawasan pengujian prototaip, pejabat operasi serta bengkel perkhidmatan dan penyelenggaraan dron untuk kegunaan pengendali dron.

Pusat Kecemerlangan Area 57 merupakan salah satu tambahan di bawah penyeliaan Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) yang mempunyai tiga lapangan ujian atau ‘test site’ lain di FELDA Mempaga Pahang, Zon Dron dan Robotik Iskandar (DRZ Iskandar) dan dron penghantaran urban di Cyberjaya.

Penciptaan, pembangunan dan pengkomersialan teknologi dan inovasi, seperti sistem pesawat tanpa pemandu (UAV) atau dron, dapat mendorong pemulihan dan memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia.

-NIAGATIMES

Kredit-foto-MOSTI.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.