Pusat pemprosesan getah krip bantu tambah nilai rantaian pengeluaran getah

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Zuraida Kamaruddin telah merasmikan Majlis Pecah Tanah Pusat Pemprosesan Getah Krip seterusnya melancarkan Program TARGET di Padang Terap, Kedah hari ini.

TARGET atau Projek Transformasi Perusahaan Getah merupakan antara salah satu usaha daripada pihak Kementerian dalam meningkatkan penglibatan pekebun-pekebun kecil meneroka peluang baharu dalam rantaian pengeluaran getah.

“Kementerian sememangnya prihatin terhadap isu-isu yang berkaitan dengan para pekebun kecil getah terutama sekali dalam jurang ekonomi yang dihadapi dan sentiasa memikirkan cara untuk membantu meningkatkan pendapatan dan membaik pulih taraf kehidupan mereka,” kata Zuraida.

Melalui Program TARGET, agensi-agensi di bawah KPPK seperti Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan Majlis Getah Malaysia (MRC) dapat membantu dalam memberi sokongan teknikal dan pembiayaan kepada organisasi-organisasi yang layak yang ingin turut serta.

Getah krip yang boleh dijual pada nilai harga yang lebih tinggi merupakan satu alternatif baharu buat pekebun-pekebun kecil getah dalam mempelbagaikan sumber pendapatan mereka daripada sekadar bergantung kepada hasil pengeluaran lateks atau getah beku mangkuk (cuplump) semata-mata.

Sementara itu, Pengerusi MRC, Dr. Daroyah Alwi yang turut hadir berkata, pembukaan pusat pemprosesan getah krip ini juga diharapkan dapat membantu membuka peluang pekerjaan buat mereka yang memerlukan.

“Komitmen daripada pihak NGO tempatan turut membantu merapatkan jurang ekonomi antara sektor huluan dan hiliran industri getah negara,” katanya.

-NIAGATIMES

kredit-foto-MPIC.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.