Jabatan Kecemasan Kanak-kanak di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway telah mula beroperasi pada 18 Mei 2023, sekali gus menjadikan ia hospital swasta pertama di Malaysia yang menawarkan perkhidmatan seumpamanya. Terletak di Menara D yang baru mula beroperasi, ia merupakan sebuah pusat sehenti (one-stop centre) yang dapat memenuhi keperluan penjagaan kesihatan bayi, kanak-kanak dan remaja.
“Kami berbesar hati dapat memberikan khidmat kepada pesakit pertama kami semalam. Dengan adanya Jabatan Kecemasan yang khusus untuk kanak-kanak ini, kami berupaya menambah baik kecemerlangan klinikal dan kecekapan operasi sekali gus meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan kami,” kongsi Dr Lee Soon Han, Ketua Jabatan Kemalangan dan Kecemasan di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway.
“Terdapat tiga zon di Jabatan Kecemasan Kanak-kanak iaitu hijau, kuning dan merah yang menyediakan penjagaan dan rawatan yang khusus. Sebagai contoh, terdapat dua ruang khas untuk kanak-kanak yang menghidap penyakit asma yang memerlukan nebulisasi supaya mereka boleh dipantau dengan teliti. Zon merah pula dilengkapi peralatan perubatan terkini dan termaju untuk resusitasi dan pemantauan rapi,” tambahnya.
Selain itu, Ketua Unit Pediatrik Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr Tan Teong Yong turut berkongsi, “Kami mempunyai pasukan doktor dan jururawat terlatih dalam bidang pediatrik yang berpengalaman luas dalam pelbagai subkepakaran bagi memberikan perkhidmatan yang cekap dan efektif kepada pesakit cilik kami. Jabatan Kecemasan Kanakkanak ditubuhkan untuk memenuhi keperluan pesakit yang terdiri daripada golongan kanak-kanak.
Tambahan lagi, pesakit akan mempunyai akses mudah kepada rangkaian perkhidmatan meluas dalam satu kawasan kerana Menara D turut dilengkapi dengan kemudahan komprehensif lain. Jabatan Radiologi terletak bersebelahan Jabatan Kecemasan Kanak-kanak dan ia menempatkan mesin imbasan Tomografi Berkomputer (CT scan) terkini, imbasan sinarX am dan perkhidmatan ultrabunyi, manakala perkhidmatan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) 3 Tesla terkini terletak di Aras 1.
Klinik pakar pediatrik juga terletak di Menara D di samping Pusat Perkembangan Kanak-kanak yang menawarkan perkhidmatan holistik untuk pesakit pediatrik, serta akan memulakan operasinya tidak lama lagi. Dengan kemudahan menyeluruh ini, Menara D di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway merupakan pusat sehenti untuk penjagaan kesihatan pediatrik bersepadu yang khusus untuk kanak-kanak. Wad kanak-kanak, Unit Rawatan Rapi Pediatrik (ICU) dan Unit Dependensi Tinggi (HDU) akan ditempatkan di Menara E yang baru serta akan dibuka secara berfasa tidak lama lagi.
“Sebagai sebuah hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia, kami sentiasa mencari-cari kaedah yang inovatif untuk meningkatkan pengalaman pesakit dengan sentiasa mengutamakan keselesaan dan kesejahteraan mereka. Jabatan Kecemasan Kanak-kanak ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk menyediakan rawatan khusus kepada pesakit kanak-kanak kami yang memerlukan penjagaan yang lebih teliti,” kata Dr Seow Vei Ken, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway.
-NIAGATIMES