Rain Rave 2026 tarik pelancong, perkukuh sektor hospitaliti negara

Festival Muzik Air Rain Rave 2026 yang berlangsung sempena sambutan Hari Pekerja Sedunia melabuhkan tirainya malam tadi di Bukit Bintang, sekali gus menutup penganjuran selama tiga hari di bawah kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Penganjuran festival itu berjaya merangsang aktiviti ekonomi tempatan apabila perbelanjaan pengunjung disalurkan secara langsung kepada penjaja, artisan serta perusahaan kecil di tujuh negeri yang terlibat.

Selain itu, kira-kira 80 hotel di seluruh negara turut menawarkan kadar promosi khas sepanjang tempoh festival, sekali gus memperluaskan limpahan ekonomi kepada sektor perhotelan.

Sepanjang hujung minggu panjang itu, kehadiran pengunjung domestik dan antarabangsa dilaporkan tinggi dengan pelbagai zon termasuk pentas utama, pasar makanan dan persembahan kebudayaan beroperasi pada kapasiti maksimum sehingga lewat malam.

Penganjuran festival ini menampilkan pendekatan berbeza apabila setiap negeri yang terlibat mengetengahkan identiti tempatan masing-masing. Antaranya, Terengganu menganjurkan Karnival Candat Sotong di Marang, manakala Johor mempersembahkan pasar terapung serta demonstrasi gasing tradisional di Tanjung Surat.

Negeri Sembilan pula tampil dengan penganjuran Bubble Bash Neon Fun Run di Port Dickson yang turut diserikan dengan persembahan artis terkenal seperti Zainal Abidin dan Sheila Majid.

Di semua lokasi, elemen makanan tempatan halal menjadi tarikan utama menerusi segmen ‘Rhythm of Flavours’, manakala seni kraf dan persembahan tradisional dipersembahkan dalam ‘Rhythm of Cultures’.

Sementara itu di ibu negara, pentas utama menyaksikan gabungan artis tempatan dan antarabangsa, dengan WUJACKERS tampil sebagai artis utama pada malam kedua, di samping persembahan pembukaan dan penutup oleh artis tempatan.

Majlis penutupan festival dimulakan dengan persembahan khas bertemakan ‘Percikan Budaya, Alunan Warisan’ oleh Istana Budaya, diikuti persembahan penyanyi Mimifly.

Acara kemudiannya diteruskan dengan segmen ‘Symphony of Water and Light’ yang menampilkan gabungan pancuran air dan pencahayaan berirama, selaras dengan konsep festival ‘Where Rain Becomes Rhythm’.

Istana Budaya sekali lagi tampil menutup tirai festival dengan lagu tema Visit Malaysia 2026 bertajuk ‘Surreal Experiences’.

Terdahulu, pertunjukan fesyen budaya Malaysia oleh ALIST Models turut menjadi antara tarikan utama apabila kira-kira 40 model muda memperagakan busana tradisional berinspirasikan elemen moden.

Secara keseluruhan, Rain Rave 2026 dilihat berjaya menetapkan penanda aras baharu dalam penganjuran festival berasaskan budaya dan hiburan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan sektor pelancongan negara selaras dengan aspirasi kempen VM2026.

-NIAGATIMES

Rain-Rave-Crowd-1.jpg