Kementerian Pembangunan Usahawan melancarkan dokumen strategik keusahawan negara yang dikenali sebagai Rangka Kerja Keusahawanan Nasional (NEF) sebagai persediaan panduan menyeluruh Dasar Keusahawanan Negara yang dijangka akan diumumkan pada pertengahan tahun 2019.
Rangka Kerja ini mengandungi 21 objektif strategik yang dirangkumkan di dalam empat teras strategi utama meliputi pelbagai sektor keusahawanan negara iaitu mempercepatkan pertumbuhan ekonomi melalui keusahawanan berteraskan inovasi, pembangunan keusahawanan secara komprehensif dan bersepadu, meningkatkan keusahawan dalam masyarakat B40 (golongan 40 peratus pendapatan rendah negara) serta pemerkasaan usahawan.
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, NEF menjadi landasan penting untuk membantu kementeriannya mencapai pelbagai objektif dan sasaran dalam memajukan usahawan-usahawan di Malaysia.
โSelepas penubuhan rasmi Kementerian Pembangunan Usahawan pada 2 Julai 2018, kementerian ini telah mengadakan pelbagai sesi janji temu, turun padang malahan perbincangan dengan pelbagai pihak yang berkepentingan di seluruh negara bagi mendapatkan input untuk mewujudkan ekosistem yang lebih kondusif dan komprehensif dalam bidang keusahawanan.
โNEF ini adalah antara usaha kementerian dalam menzahirkan komitmen kerajaan untuk memperkasakan agenda keusahawanan negara bagi melonjak dan merancakkan pertumbuhan ekonomi yang lebih mapan,โ katanya pada majlis pelancaran Rangka Kerja Keusahawanan Nasional di Menara Kembar Bank Rakyat Kuala Lumpur, semalam.