Red Bull Malaysia terus perkasa sukan permotoran, sambung kerjasama pasukan Cub Prix

Red Bull Malaysia memperbaharui kerjasama strategiknya bersama tiga pasukan perlumbaan tempatan iaitu 31 Racing, Maju Motor Racing dan CKJ Racing bagi menghadapi musim Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026, susulan penutup tirai musim 2025 yang berlangsung penuh dramatik.

Pembaharuan kerjasama itu dimeterai menerusi penganjuran majlis penghargaan khas oleh Red Bull Malaysia sebagai tanda pengiktirafan terhadap pencapaian, komitmen serta sumbangan berterusan pasukan-pasukan terbabit dalam memperkasa arena sukan permotoran tempatan.

Langkah berkenaan sekali gus mencerminkan kesungguhan jenama minuman bertenaga itu dalam menyokong pembangunan bakat pelumba Malaysia di peringkat akar umbi.

Ketua Pemasaran TCP Red Bull Malaysia, Adelene Tay, berkata sokongan berterusan yang diberikan bukan sekadar tertumpu kepada aspek persaingan di litar, sebaliknya merangkumi keseluruhan ekosistem sukan permotoran.

“Setiap musim memperlihatkan peningkatan dari segi semangat juang, disiplin dan daya tahan para pelumba serta kru pasukan.

“Ini mengukuhkan kepercayaan kami untuk terus melabur dalam komuniti sukan permotoran tempatan dan meraikan individu-individu yang menjadi tulang belakang kejayaan di sebalik tabir,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada majlis itu, Red Bull turut menyampaikan cenderamata penghargaan kepada pemilik pasukan, iaitu Che Ku Jonaidi, K. Sivanesan dan Yong Yin Hoe sebagai simbol penghormatan terhadap kepimpinan serta peranan mereka dalam mencungkil dan membimbing bakat baharu.

Penghargaan sama turut diberikan kepada mekanik, jurutera dan kru sokongan yang menjadi nadi kepada kelancaran operasi pasukan sepanjang musim perlumbaan.

Seiring usaha menyokong gaya hidup aktif dan berprestasi tinggi, Red Bull Malaysia juga memperkenalkan Red Bull Zero, minuman tenaga tanpa gula yang menawarkan rangsangan tenaga ikonik Red Bull.

Produk dalam tin 250 mililiter itu kini boleh didapati di pasar raya utama dan kedai serbaneka dengan harga bermula RM3.10 setin.

Menjelang musim 2026, Red Bull Malaysia menegaskan komitmennya untuk terus memacu pertumbuhan sukan permotoran negara, sekali gus melahirkan generasi pelumba yang berdaya saing dan berdaya tahan di peringkat lebih tinggi.

-NIAGATIMES

RedBull-Msia.jpeg