Idea untuk memulakan sesebuah bisnes, setiap usahawan punya cerita yang berbeza. Bagi sepasang suami isteri yang merupakan pemilik syarikat telekung Aleena, ia terlintas apabila timbul hasrat daripada si isteri yang mahukan telekung serba kemas, cantik dan selesa ketika mengerjakan solat. Dari situlah menjadi titik permulaan mereka memulakan perniagaan berasaskan pakaian solat wanita sejak lima tahun lalu.
Sungguhpun telekung mudah didapati di pasaran, namun Aroneb Zabidi 33, tidak berasa puas apabila mengenakan pakaian solat tersebut kerana ia tidak menepati cita rasanya yang mahukan sesuatu lebih cantik ketika menghadap Penciptanya.
Justeru, berbekalkan modal sepasang telekung yang direka sendiri dengan perincian sulaman ringkas menggunakan jenama Aleena menjadi taruhan untuk dijual secara ‘online’.
Aleena yang membawa bermaksud sutera syurga dalam bahasa Arab menawarkan telekung dilengkapi perincian sulaman dengan menggunakan material kain berkualiti seperti organza, ‘polyester crepe’ dan kapas bermula pada harga serendah RM59 hingga RM200 mengikut rekaan.
Perniagaan diusahakan bersama suami tercinta, Abdul Qayyuum Hamdan, 33, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Aleena Global Sdn Bhd giat menjalankan pemasaran menerusi platform media sosial sehingga semakin dikenali di pasaran.
Jelas Aroneb yang juga Ketua Pegawai Operasi Aleena Global Sdn Bhd, telekung Aleena direka khas untuk memenuhi cita rasa khususnya golongan muda yang meminati rona lembut atau pastel menggunakan material kain ringan, cepat kering apabila dibasuh dan kurang kedutan.
“Lazimnya telekung sinonim dengan warna putih, tiada pilihan rekaan dan ia tidak menjadi satu keperluan pakaian yang sering dibeli selain penjualannya yang terhad di pasaran ‘online’.
“Saya dan suami melihat kekurangan itu sebagai satu prospek dalam bidang bisnes yang akhirnya kami memulakan perniagaan dengan cara pelanggan perlu membuat tempahan awal di platform media sosial kami,” kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Kewangan dari Universiti Selangor ini.
Pasangan yang memiliki dua cahaya mata perempuan itu memberitahu, keputusan untuk menceburkan diri dalam perniagaan secara serius dilakukan selepas dia berhenti kerja di sektor swasta yang kemudiannya diikuti oleh suaminya.
Langkah berani itu dibuat bukan hanya untuk menambah pendapatan melalui berniaga tetapi kerana mahu mencari masa berkualiti bersama keluarga yang jarang dikecapi ketika bekerja makan gaji.
“Perjalanan untuk menjadikan jenama ini dikenali bukan mudah. Jika dahulu berbekalkan sehelai telekung sebagai modal perniagaan, kini kami berjaya menjual sekurang-kurangnya 3,000 helai dalam sebulan.
“Pada peringkat permulaan hanya saya, suami dan dibantu oleh dua adik menguruskan perniagaan ini. Kini ia semakin berkembang apatah lagi selepas sebuah butik Aleena dibuka di Bandar Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur tahun lalu,” jelasnya.
Dalam pada itu menurut Abdul Qayyuum, permintaan terhadap telekung Aleena bukan hanya menjadi tumpuan rakyat tempatan malah turut telah menembusi pasaran negara jiran seperti Brunei, Thailand, Indonesia dan Thailand.
“Walaupun sebelum ini telekung Aleena hanya dipasarkan melalui platform digital, namun sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan kami tidak menyangka produk kami mendapat tempat di hati pelanggan.
“Selain menawarkan harga yang berpatutan kami mahu memastikan setiap pelanggan berasa selesa ketika menyarung telekung Aleena walaupun memakainya dalam tempoh yang lama,” ujarnya yang menceburkan diri dalam bidang perniagaan dalam talian ketika sedang menuntut di Universiti Multimedia dalam jurusan Diploma Kejuruteraan Telekomunikasi.
Menurut Abdul Qayyuum, pihaknya mahu menerapkan nilai positif dalam kalangan wanita untuk menjadikan telekung sebagai persalinan yang perlu diganti sekurang-kurangnya sekali setahun sebagaimana baju raya dan tidak membiarkannya lusuh tidak berganti.
Justeru, pihaknya sedang giat melakukan usaha dari segi pemasaran dengan sasaran setiap rumah masyarakat beragama Islam di negara ini memiliki sekurang-kurangnya sehelai telekung Aleena.
Tidak hanya telekung, Aleena sering melakukan inovasi terhadap produk keluarannya bagi memastikan ia terus mengikut kehendak pelanggan terutamanya mereka yang mengikuti perkembangan fesyen terkini.
“Kami turut mengeluarkan umrah kit yang lengkap dengan peralatan mengerjakan ibadat berkenaan seperti botol wuduk, sejadah dan tasbih digital selain sesuai dijadikan hadiah buat tersayang,” ujarnya.
Dalam usaha memastikan perniagaan yang dibangunkan terus memasuki pasaran yang lebih luas, Abdul Qayyuum berkata, pihaknya melantik ejen-ejen atau lebih dikenali sebagai Aleena Perintis untuk sama-sama mengembangkan perniagaan tersebut.
Katanya, pihaknya menyasarkan pembukaan outlet Aleena di setiap negeri dan pusat beli belah dalam tempoh lima tahun.
“Kami mahu membina empayar Aleena bersama-sama para ejen yang sentiasa berada dengan kami dalam usaha memajukan perniagaan ini bukan sahaja dalam pasaran tempatan tetapi di luar negara,” katanya.
-NIAGATIMES