Kejayaan bukanlah sesuatu yang mudah bagi pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif RF3 World Sdn Bhd, Datuk Seri Nazeri Omar. Namun, semangat keusahawanan jitu yang dimiliknya membolehkan Nazeri mengatasi banyak kesukaran untuk bangkit meraih kejayaan yang dimilikinya hari ini. Sewaktu sesi temu bual, usahawan berwawasan ini banyak berkongsi tentang perjuangan dan cita-cita syarikat yang dibangunkannya.
Keluar dari kepompong kebiasaan
Nazeri bukanlah datang dari keluarga yang berada. “Saya berasal dari Felda Bukit Puchong, Pahang. Di situ popular dengan tanaman kelapa sawit yang menjadi kerjaya utama penduduk tempatan,” katanya. Walaupun begitu, beliau cenderung untuk memilih haluan yang berbeza. Selepas menamatkan alam persekolah, Nazeri mula bekerja di kilang dan beliau dinaikkan pangkat untuk satu tempoh perkhidmatannya. Namun selepas 10 tahun di sana, beliau dipecat setelah didapati terlibat bersama-sama kesatuan yang mempertahankan hak pekerja.
“Saya dipecat beberapa bulan sebelum mendirikan rumah tangga,” kata Nazeri. Tetapi beliau tidak begitu khuatir kerana sudah terlebih dahulu bersedia dengan sebarang kemungkinan. “Pada waktu itu saya ada bekerja sambilan sebagai ejen insurans,” katanya.
Dari situlah Nazeri mula mengasah kemahirannya dalam bidang pemasaran. “Saya belajar bagaimana menangani orang. Jika diamati, kerja begitu sebenarnya lebih mudah berbanding kerja di ladang kelapa sawit. Saya sentiasa positif dan percaya bahawa untuk setiap 1,000 percubaan jual, pasti ada sekurang-kurangnya satu akan berjaya,” kata bapa kepada tiga orang anak ini. Nazeri juga percaya bahawa kesukaran berganda yang dihadapinya banyak membantu serta menguatkan kekuatan mentalnya.
Walaupun memiliki rekod cemerlang sebagai ejen insurans dengan dapatan seramai 100 pelanggan dalam bulan pertama, Nazeri merasakan bahawa kehidupan sedemikian tidak secocok untuknya. Keadaaan perlu berdepan pembeli insurans yang hampir sama di dalam rutin pekerjaan selama bertahun-tahun, beliau merasakan bahawa tanggungjawabnya terlalu besar untuk ditanggung. Dia nekad beransur-ansur melibatkan diri dalam bidang perniagaan.
Suka duka di awal pembabitan perniagaan
Nazeri mula terlibat dengan pelbagai jenis perniagaan dengan salah satunya melibatkan eksport dan import. “Walaupun saya tidak mahir dalam industri perdagangan, saya sedia belajar dengan mengikuti rakan-rakan lain yang lebih berpengetahuan.” Semuanya nampak serba lancar dan tiada masalah. “Perniagaan itu kelihatan menguntungkan. Walau bagaimanapun, ‘ku sangka intan rupanya kaca’. Itulah pengalaman yang paling menyakitkan dalam hidup saya,” ujar beliau sambil menerangkan bahawa dirinya telah ditipu.
Nazeri mula berdepan episod suram. Dia bahkan terpaksa bertahan tanpa makan selama beberapa hari. “Saya terpaksa menghantar isteri kembali ke kampung halaman. Saya juga tidak mempunyai wang untuk membeli susu anak,” katanya. Sejak diusir keluar dari rumah dan ditarik balik keretanya, Nazeri umpama hilang arah. Mujurlah ahli keluarganya banyak membantu dan memberi galakan. Beliau enggan mengalah dan terus berdoa untuk diberi kekuatan serta petunjuk jalan segera keluar dari situasi itu.
Tanpa semena-mena, pada satu hari Nazeri dihubungi seorang bekas pelanggannya yang meminta pertolongan untuk urusan pembersihan kargo. Titik tolak itulah menyaksikan Nazeri kembali berada di landasan tepat untuk mendapatkan lebih ramai pelanggan dan mengembangkan lagi perniagaan. Walaupun hanya bermula sebagai usahawan kecil, beliau berazam untuk terus melebarkan pengaruh menjadikan perniagaan yang diusahakan lebih besar. Beliau yang terlibat dalam perniagaan pembinaan dan syarikat pemasaran, akhirnya menubuhkan sebuah syarikat produk kecantikan, RF3 World Sdn Bhd pada tahun 2011.
Gah bina legasi syarikat
Nazeri menjelaskan bahawa simbolik huruf pada nama syarikatnya dengan ‘R’ mewakili ‘Revolusi’ yang mereka ingin laksanakan. ‘F’ pula bermaksud ‘Firm’ iaitu keadaan syarikat beroperasi dan kesan produknya meningkatkan keanjalan kulit. Bagi nombor ‘3’ pula, ia adalah nombor kegemaran beliau selain turut mewakili ketiga-tiga elemen syarikat itu yakni kecantikan, kesihatan dan kemewahan.
Sejak penubuhannya, RF3 World telah berkembang pesat dengan kini mempunyai 28 pusat stokis di seluruh Malaysia. “Saya percaya bahawa dalam perniagaan, anda harus cepat merebut peluang. Jika tidak, anda akan kehilangan potensi pasaran anda,” kata Nazeri. Tambah membanggakan, legasi syarikatnya turut melebarkan sayap ke pasaran antarabangsa melibatkan 28 negara di seluruh dunia yang bukan sahaja beberapa negara ASEAN, malah negara-negara kuasa besar ekonomi seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Australia.
“Saya seorang lelaki yang mempunyai misi,” kata Nazeri. Beliau menjelaskan bahawa sasaran memecah dominasi jenama luar negara dengan menakluk pasaran global kini dalam usaha untuk dilaksanakan bersama-sama rakan seperjuangannya di RF3 World. “Kami mengatur strategi seolah-olah dalam medan pertempuran. Dan saya tidak mahu berjaya secara bersendirian sahaja. Itu tidak memberi sebarang makna. Saya mahu orang lain turut berjaya dengan saya,” katanya sambil tersenyum.
Nazeri menganggap perniagaan sebagai sesuatu yang perlu dipandang serius. Beliau sempat menyampaikan beberapa pesanan khusus kepada mereka yang mahu mencebur diri dalam bidang keusahawanan sebelum mengakhiri perbualan. “Jangan takut untuk masuk ke dalam alam perniagaan. Kamu perlu memberikan segala yang terbaik sedaya upaya. Kegagalan adalah perkara biasa. Kamu sebenarnya akan menjadi lebih berpengetahuan, lebih bijak dan kuat dalam tempoh tersebut. Itulah pengalaman paling berharga dalam kehidupan kerana ia bukti kamu masih bertahan dan berjaya dalam apa-apa situasi sekalipun,” kata usahawan hebat ini.