RON95 tanpa subsidi dijual RM2.60 seliter bermula 30 September

Harga runcit bagi petrol RON95 tanpa subsidi ditetapkan pada RM2.60 seliter bermula 30 September hingga 8 Oktober 2025, menurut pengumuman Kementerian Kewangan (MoF) hari ini.

Dalam kenyataan rasmi, MoF memaklumkan bahawa kerajaan akan terus memantau trend semasa pasaran minyak global bagi memastikan penyesuaian harga runcit dilakukan secara berhemah, dengan matlamat utama mengekalkan kestabilan harga bahan api dalam negara.

“Melalui pelaksanaan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95), harga runcit bagi petrol RON95 bersubsidi ditetapkan pada RM1.99 seliter kepada warganegara Malaysia yang layak bermula 30 September 2025. Seiring dengan itu, harga tanpa subsidi bagi RON95 ditetapkan pada RM2.60 seliter,” jelas kenyataan tersebut.

Bagi sektor pengangkutan awam darat serta pengangkutan barangan, harga runcit RON95 yang disalurkan menerusi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) pula ditetapkan pada kadar RM2.05 seliter dalam tempoh yang sama.

Sementara itu, harga petrol RON97 kekal stabil pada RM3.21 seliter, manakala harga diesel juga tidak berubah RM2.93 seliter di Semenanjung Malaysia dan RM2.15 seliter di Sabah, Sarawak dan Labuan.

MoF turut menegaskan komitmen kerajaan dalam meneliti kesan perubahan harga minyak mentah antarabangsa serta mengambil tindakan sewajarnya demi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terjaga.

-NIAGATIMES

GAMBAR-HIASAN-kredit-Petron-Malaysia.jpg