Salmon, sebuah syarikat teknologi kewangan yang berusaha untuk meningkatkan akses kredit, simpanan dan pelaburan kepada lebih 500 juta pelanggan yang kurang mendapat perkhidmatan tersebut di Asia Tenggara, mengumumkan bahawa mereka telah mendapat kelulusan kawal selia daripada Lembaga Kewangan Bangko Sentral ng Pilipinas (BSP) untuk memperoleh kepentingan mengawal Rural Bank of Sta. Rosa (Laguna), iaitu sebuah institusi kewangan berlesen yang dihormati ramai yang memberikan perkhidmatan kepada komuniti Filipina sejak tahun 1963.
Salmon akan memiliki 59.7 peratus syer bank tersebut selepas pelengkapan transaksi, yang akan disempurnakan dalam beberapa minggu yang akan datang. Lesen bank ini dan jejak geografinya akan membolehkan Salmon menawarkan produk kredit dan debit pengguna yang berpusatkan AI di seluruh Filipina.
Salmon beroperasi secara dalam talian dan juga luar talian, dengan kelebihannya yang menekankan khidmat pelanggan yang cemerlang, dengan 92 peratus pelanggan syarikat tersebut menyatakan bahawa mereka akan mencadangkan Salmon kepada rakan dan ahli keluarga.
Raffy Montemayor, Pengasas Bersama dan Ketua Perniagaan Di Filipina di Salmon berkata, pihaknya gembira dapat mengambil langkah penting ini dalam pembangunan Salmon dan amat berterima kasih atas sokongan berterusan daripada pihak BSP dan visi mereka untuk mendorong rangkuman kewangan di negara tersebut.
“Transaksi ini akan membantu kami mencapai lebih banyak komuniti Filipina yang kurang mendapat perkhidmatan secukupnya, lalu membawa perkhidmatan kewangan yang moden, berpusatkan pelanggan dan mudah diakses kepada lebih banyak orang.
“Kami amat bangga dengan hubungan baik yang telah kami bangunkan dengan pasukan eksekutif di Rural Bank of Sta. Rosa (Laguna), dan tidak sabar untuk membina institusi kewangan yang kukuh bersama-sama bagi terus menyampaikan perkhidmatan kepada komuniti di seluruh Filipina,” katanya.
-NIAGATIMES