Saluran YouTube Les’ Copaque raih ‘Diamond Creator Award’

Les’ Copaque Poduction (Les’ Copaque) telah dinobatkan sebagai pemenang bagi ‘Diamond Creator Award’ oleh platform gergasi YouTube. Ia diberikan khas kepada pencipta kandungan di platform tersebut yang berjaya mencecah 10 juta langganan.

Saluran YouTube Les’ Copaque telah berjaya mencapai rekod tersebut dan kini mempunyai 10.3 juta pelanggan sekaligus menjadikannya saluran YouTube pertama Malaysia yang mendapat anugerah berkenaan.

‘Diamond Creator Award’ itu telah disampaikan sendiri oleh wakil Google Malaysia kepada Pengarah Urusan Les’ Copaque, Burhanuddin Md Radzi di studio Les’ Copaque Production, baru-baru ini.

Les Copaque dalam satu kenyataan berkata, kejayaan tersebut merupakan satu kebanggaan kepada negara kerana jumlah 10 juta langganan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai.

“Anugerah tersebut diletakkan di dalam beg bimbit khas dan disertakan dengan surat ucapan tahniah daripada Ketua Pegawai Eksekutif YouTube, Susan Wojcicki.

“Video khas akan dimuat naik di saluran YouTube Les’ Copaque bagi mempamerkan anugerah itu bagi berkongsi kegembiraan bersama 10 juta pelanggan saluran tersebut,”katanya.

Saluran Les’ Copaque di YouTube memaparkan pelbagai kandungan kreatif dari Harta Intelek (IP) hak milik mereka seperti Upin dan Ipin, Pada Zaman Dahulu, Dadudido, Puteri dan banyak lagi.

Saluran ini juga mendapat ‘Silver play Button’ (100 ribu langganan) dan ‘Gold Play Button’ (1 juta langganan) pada tahun 2017.

“Anugerah ini mengiringi kejayaan Les’ Copaque sebagai studio animasi nombor satu negara yang berjaya membawa nama Malaysia ke mata dunia apabila filem Upin dan Ipin: Keris Siamang Tunggal telah berjaya disenarai pendek dalam pencalonan Oscar bagi kategori animasi pada tahun lepas.

“Kami menyasarkan untuk mendapat anugerah ‘Custom Play Button’ atau lebih dikenali sebagai ‘Ruby Play Button’ dalam tiga tahun yang akan datang,” ujarnya.

Google-Malaysia-menyerahkan-YouTube-Diamond-Play-Button-pertama-untuk-Malaysia-kepada-Les-Copaque-Production-sempena-mencecah-10-juta-subscribers-Kredit-foto-Les-Copaque.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.