Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional raih suntikan biaya utama dari MTDC

Program Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) telah dilancarkan secara rasminya oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 19 Ogos 2020. NTIS, yang merupakan inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) telah diumumkan pada bulan Jun 2020.

Selain membantu menjana ekonomi negara, NTIS juga berperanan membantu melancarkan penggunaan teknologi baharu di dalam pelbagai sektor terutama sekali dalam memerangi wabak Covid-19.

Sebanyak 1,763 syarikat telah berdaftar dalam NTIS sejak pelancaran inisiatif ini pada Jun 2020. Daripada jumlah tersebut, MTDC telah menerima 48 permohonan untuk penilaian bagi Dana Sandbox.

Setakat ini, dana berjumlah RM21.8 juta telah diluluskan kepada 30 buah syarikat.

Program ini diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan sokongan Malaysian Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), MIMOS Berhad dan Taman Teknologi Malaysia (TPM) dengan kerjasama Futurise Sdn. Bhd. sebagai penyelaras dan pemudah cara pelaksanaan inisiatif ini.

Menteri MOSTI, Khairy Jamaluddin berkata tumpuan utama inisiatif Sandbox adalah untuk memacu pengkomersialan teknologi tempatan.

“Sandbox adalah satu platform yang dapat menjana pendapatan tinggi untuk Malaysia, menjadikannya sebuah negara ‘hi-tech’ dan mempunyai misi.

“Misi utama Sandbox adalah untuk mengurangkan kebergantungan kepada buruh kasar dan meningkatkan ‘food security’ dan menaik taraf teknologi perubatan. Ini ternyata apabila kebanyakan permohonan untuk Sandbox adalah dalam sektor perubatan dan pertanian.

“NTIS membuka peluang luas kepada usahawan untuk mengguna teknologi baru bagi kesejahteraan rakyat,” katanya pada sesi bual bicara di Majlis Pelancaran Virtual Projek Rintis NTIS Felda Mempaga.

MTDC, sebagai rakan pembiayaan utama inisiatif ini akan menyediakan platform termasuk pembiayaan bagi produk, teknologi dan perkhidmatan hasil R&D atau inovasi tempatan dari peringkat proptotaip ke peringkat pengkomersialan.

Sasaran program pembiayaan ini adalah untuk memberi akses kewangan kepada syarikat-syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) atau pemula niaga untuk membangunkan dan menjalankan proses pengesahan produk, teknologi, perkhidmatan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) atau inovasi dalam persekitaran yang terkawal (sandbox).

Melalui NTIS, syarikat pemula teknologi boleh menerima bantuan dana RM100 juta yang diperuntukkan dan memperoleh beberapa skim pembiayaan.

MTDC menawarkan empat skim pembiayaan iaitu Single Site Sandbox, Multisite Sandbox, Commercialisation Sandbox dan Corporate Sandbox.

Sementara itu, Ketua Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus menekankan agar semua usahawan, syarikat pemula terutama sekali yang melibatkan Industri 4.0 seperti automasi, robotik dan sebagainya, menyahut cabaran, visi dan misi NTIS.

“Selain hasrat meletakkan Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi di persada dunia, Malaysia juga perlu mengurangkan kebergantungannya terhadap produk dan perkhidmatan luar negara.

“NTIS juga dicita-citakan menjadi platform utama untuk meningkatkan daya saing syarikat-syarikat teknologi tempatan untuk menembusi revolusi industri 4.0.

“Secara keseluruhannya projek NTIS ini akan memacu Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi dan berteknologi tinggi dengan meningkatkan pembangunan dan akses kepada teknologi canggih di mana rakyat akan menikmati kehidupan berkualiti tinggi,” jelasnya.

Untuk maklumat lanjut mengenai NTIS, projek perintis atau untuk menghantar permohonan, sila layari laman sesawang atau emel ntis.enquiries@sandbox.gov.my.

-NIAGATIMES

NTIS.png

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.