Dalam usaha untuk membantu Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS) mengharungi cabaran pasca-pandemik, Sapura Resources Berhad (SRB) telah menganjurkan program ‘Jom Beli Lokal’ bersempena Expo Bluedome Bazaar di Sapura Bluedome Mines, yang kini dijalankan hingga Ahad ini.
Program komuniti ini menyokong usahawan tempatan kembali aktif dalam dunia perniagaan setelah hampir dua tahun mengharungi era Covid-19.
Expo Bluedome Bazaar dianjurkan dengan objektif untuk membantu para usahawan PMKS Bumiputra dengan menyediakan platform bagi memasarkan produk tempatan mereka kepada awam, dengan kadar sewaan yang berpatutan.
SRB berkata, acara ini juga bertujuan untuk membantu para graduan melalui pendedahan kepada dunia perniagaan, dan memberikan peluang untuk mereka memulakan perniagaan sendiri, sekali gus menjadikan mereka sebagai usahawan PMKS baharu.
“Program ini juga dilihat membuka peluang luas kepada para mahasiswa untuk menceburi bidang keusahawanan. Dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), program ini dianjurkan sebagai salah satu inisiatif untuk memberi pendedahan, memupuk minat terhadap dunia keusahawanan, serta menyediakan platform untuk memulakan perniagaan sendiri, sekaligus melahirkan usahawan PMKS baharu,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Bahagian Hartanah SRB, Syed Haroon Alshatrie berkata, pihaknya menyasarkan sekitar 5,000 pengunjung sepanjang tempoh tiga hari acara ini berlangsung.
“Seramai 70 vendor telah mengambil bahagian untuk menjayakan Expo Bluedome Bazaar ini. Mereka terdiri daripada perniagaan seperti penjualan baju, kraftangan, makanan dan minuman, dan pelbagai lagi,” jelasnya.
-NIAGATIMES