Kumpulan usahawan sektor aeroangkasa mendapat anjakan baharu apabila kerajaan kini menyasarkan sejumlah 50 syarikat pembuatan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) siap dibangunkan dalam tempoh dua tahun lagi.
Pertambahan 30 syarikat pembuatan PKS baharu dalam sektor aeroangkasa daripada 20 syarikat yang ada ketika ini dilihat relevan memandangkan keupayaan industri tersebut telah mengetepikan segmen penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih sebagai penyumbang utama pendapatan dalam sektor aeroangkasa.
Ketua Pejabat Penyelarasan Industri Aeroangkasa Kebangsaan (NAICO), Shamsul Kamar Abu Samah berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan bekerjasama dengan PKS dengan menubuhkan satu organisasi bagi menyelia keterlibatan jangka panjang mereka dalam industri aeroangkasa.
“Agensi-agensi MITI seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan SME Corporation Malaysia akan menyediakan geran untuk membantu PKS dalam industri aeroangkasa nanti,โ katanya kepada pemberita selepas pelancaran Konvensyen Perniagaan Aeroangkasa Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 di Menara Matrade, baru-baru ini.